Berita Bergambar: Malaysiakini rai Jamal, sembang-sembang sambil minum petang

Berita Bergambar: Malaysiakini rai Jamal, sembang-sembang sambil minum petang

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Cadangan geng baju merah untuk berdemonstrasi di hadapan pejabat portal berita Malaysiakini petang tadi berubah menjadi program sembang-sembang sambil minum petang, lapor laman portal berita itu.

Ianya berpunca daripada sikap matang ditunjukkan penerajui laman web berkenaan yang tidak merasa tergugat dengan aksi kumpulan terbabit, sebaliknya meraikan kedatangan mereka.

Ketua geng baju merah yang juga ketua Umno bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos dibenarkan masuk ke pejabat Malaysiakini di Jalan Tandang, Petaling Jaya bersama 9 pengikutnya.

Mereka disambut Ketua Pengarang Kumpulan Malaysiakini Steven Gan, Ketua Pengarang RK Anand dan Pengarang Bahasa Malaysia Jimadie Shah Othman.

Mereka kemudiannya mengadakan perbincangan santai di kedai kopi di bahagian bawah pejabat Malaysiakini.

Jamal meminta penjelasan berkaitan dana yang didakwa diterima Malaysiakini daripada jutawan media George Soros dan para pengarang Malaysiakini menjelaskan berkaitan dana tersebut.

Ketua geng baju merah itu diberitahu bahawa geran yang diterima daripada Open Society Foundation (OSF) itu digunakan untuk menghasilkan program berita berkaitan Sarawak.

Penjelasan terperinci berhubung isu berkenaan boleh dibaca pada laman portal berita berkenaan, manakala aspek kewangan sudah diaudit setiap tahun dan terbuka kepada penelitian Suruhanjaya Syarikat.

Pengarang Malaysiakini juga menolak dakwaan Jamal bahawa mereka mempunyai agenda untuk merosakkan sistem demokrasi di negara ini sebaliknya hanya menyediakan laporan alternatif, yang juga menjadi tunjang kepada sesebuah demokrasi.

Pertemuan berakhir dengan masing-masing pihak saling bersalaman.

Pengurusan Malaysiakini turut menyatakan penghargaan kepada pasukan polis yang mengawal keadaan dan keselamatan sepanjang tempoh pertemuan itu berlangsung.

FRU bersiap sedia memastikan himpunan berjalan dalam keadaan aman

Petugas media hadir membuat liputan.

Puluhan anggota geng baju merah berhimpun di hadapan pejabat Malasyakini

Steven Gan mengiringi Jamal masuk ke pejabat Malaysiakini

 

Jamal keluar dari pejabat Malaysiakini disambut para penyokong

Jamal diwawancara selepas pertemuan dengan Malaysiakini

Geng baju merah bergambar di hadapan papan tanda Malaysiakini yang pernah disimbah cat merah

Setelah selesai bertemu peneraju Malaysiakini geng baju merah beredar pulang

TAGS