Berjasa, Hamim tidak kekal lama kerana cenderung pada BN – Salahudin

Berjasa, Hamim tidak kekal lama kerana cenderung pada BN – Salahudin

Pengaruh parti kecil seperti Hamim dan Berjasa tidak kekal lama kerana kecenderungan pemimpin parti tersebut untuk bekerjasama dengan BN, kata Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub.

Menjawab soalan hadirin pada majlis Talkshow Isu Politik Semasa di Dewan Masyarakat Saujana Utama, Sungai Buloh, Kuala Selangor, Ahad lalu, Salahudin yakin mana-mana parti politik pembangkang yang cenderung untuk bekerjasama dengan BN akan mengalami nasib yang sama dengan Berjasa dan Hamim.

Beliau seterusnya berkata, berlainan dengan Amanah yang ditubuhkan bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan PAS dalam pakatan pembangkang, beliau berkata parti itu tidak ditubuhkan kerana dendam politik, kalah dalam pemilihan parti ataupun mempunyai kepentingan peribadi.

Menurutnya, sebahagian besar pemimpin Amanah telah berkecimpung selama 40 tahun dalam PAS kerana yakin dengan politik Islam dan konsep Islam sebagai rahmat bagi sekelian alam.

Dalam konteks politik Malaysia, ujarnya parti-parti politik perlu membentuk kesepakatan bagi memerintah negara.

“Umno pun perlukan rakan politik untuk perintah negara,” katanya.

Oleh kerana memilih pendekatan aman (muwajahah silmiyah) bagi mendapatkan kuasa pemerintahan, Amanah menjalinkan kerjasama politik dengan DAP dan PKR bagi menghadapi BN.

Walaupun parti-parti politik yang membentuk Pakatan Harapan mempunyai dasar yang berlainan, Amanah, DAP dan PKR ujarnya mewujudkan kerjasama politik bagi mewujudkan kerajaan yang cekap, telus dan bertanggung jawab untuk menggantikan kerajaan BN yang lemah, korup dan gagal mentadbir negara.

Sehubungan itu beliau menyifatkan tindakan Pas memutuskan hubungan dengan DAP atas alasan parti itu menolak hukum hudud sebagai satu kesilapan kerana hudud tidak termasuk dalam syarat kerjasama politik (tahalluf siayasi) Pakatan Rakyat yang kini sudah berkubur.

Salahudin turut menghargai jasa dua tokoh utama Pas yang terkehadapan dalam memperjuangkan kerjasama politik di kalangan parti pembangkang iaitu bekas presiden Pas, Allahyarham Ustaz Fadzil Noor dan bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Kami (pemimpin Amanah) banyak belajar daripada Ustaz Fadzil dan Tuan Guru Nik Aziz,” katanya.

Beliau turut menyentuh perkembangan pesat Amanah yang baru berusia empat bulan namun kini mempunyai 150 kawasan penaja di seluruh negara dengan 50,000 keahlian sedang diproses.

Amanah ujarnya telah mengedarkan lebih 100,000 borang keahlian sejak ditubuhkan dan sambutan yang diterima amat menggalakkan.

Pada majlis yang sama Salahudin turut melancarkan buku tulisan pendakwah bebas yang juga aktivis muda PKR, Ustaz Wan Ji Wan Husin.

Buku bertajuk “Jangan kasar sangat ustaz” itu diterbitkan Kemilau Publika.

Turut berceramah pada malam itu Ketua Pemuda Amanah Selangor, Abbas Azmi dan aktivis muda DAP, Young Shefura Othman.

TAGS