Bersatu anjur Pesta Makanan Tradisional Kelantan 13 Ogos depan, kumpul dana kebajikan

Bersatu anjur Pesta Makanan Tradisional Kelantan 13 Ogos depan, kumpul dana kebajikan

 

Menyedari keperluan untuk membantu golongan kurang bernasib baik di Negeri Kelantan, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Kelantan mengambil inisiatif menganjurkan program-program berbentuk kemasyarakat dengan tujuan untuk mengukuhkan hubungan antara rakyat negeri itu.

Buat julung kalinya Pesta Makanan Tradisional Kelantan 2017 akan diadakan pada 13 Ogos depan  dengan memperkenalkan sebanyak 50 juadah makanan tradisi negeri Che Siti Wan Kembang itu yang dijangkakan akan dihadiri lebih 6,000 pengunjung.

Pesta ini akan diadakan di Dewan Beringin Taman Sri Gombak, Batu Caves, Selangor bermula jam 10 pagi hingga 4 petang dengan pelbagai program kebudayaan dan persembahan artis anak Kelantan bakal mewarnai kemeriah pesta makanan tersebut.

Kamarudin Md NorPengerusi Perhubungan Bersatu Negeri Kelantan Datuk Kamarudin Md Nor (Gambar kiri) berkata, pesta ini bertujuan mengumpul dana kebajikan bagi membantu golongan masyarakat dan institusi yang memerlukan.

“Tumpuan kita kepada menyalurkan bantuan di pusat-pusat tahfiz, rumah-rumah anak yatim, golongan yang ditimpa kesusahan dan sebagainya di negeri itu.

“Kita sebagai sebuah parti yang sangat cakna kepada masyarakat yang mengalami kesusahan jadi kita perlu mengambil tahu dan menyatakan keperihatian kita kepada rakyat dalam menyalurkan bantuan kepada mereka.

“Bagi tujuan itu PPBM negeri Kelantan di setiap bahagian telah bersatu untuk bersama-sama merancang dan melaksanakan pesta makanan ini untuk mengumpul dana kebajikan khusus kepada rakyat negeri Kelantan.

“Untuk mengekalkan momentum sokongan rakyat terhadap kewujudan PPBM, inilah yang kita putuskan untuk menganjurkan Pesta Makanan Tradisional Kelantan 2017 pada 13 Ogos depan,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Dalam pesta itu kupon-kupon berharga antara RM30 dan RM50 dijual kepada orang ramai, persatuan dan alumni anak Kelantan yang bermastautin di Kuala Lumpur mahupun yang datang dari negeri Kelantan dan seluruh negeri.

“Kita bercadang mengedarkan kupon berharga RM50 kepada orang ramai, persatuan dan alumni anak Kelantan untuk diedarkan kepada ahli-ahli mereka.

“Manakala bagi kupon berharga RM30 pula disediakan khusus kepada keluarga dan pelajar yang akan dijual pada hari pesta di adakan. Pelajar hanya perlu menunjukkan kad pelajar mereka dan dikalangan pengunjung yang hadir bersama ahli keluarga masing-masing boleh mendapatkan kupon di tempat jualan yang disediakan pada hari tersebut.” ujarnya.

Kamarudin yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi berkata, sebanyak 20 tapak jualan dan 14 ‘car booth’ disediakaan dilokasi pesta diadakan bagi memberi peluang kepada usahawan negeri Kelantan untuk mempamerkan pelbagai produk jualan mereka kepada pengunjung.

Beliau berkata, hasil daripada jualan kupon dan tapak perniagaan itu akan disalurkan kepada setiap bahagian di negeri Kelantan untuk diberikan kepada rakyat yang amat memerlukan sebagai salah satu program kemasyarakatan parti itu.

Ditanya mengenai acara kemuncak kepada pesta sehari diadakan itu, ujarnya, dijangkakan pimpinan tertinggi parti itu akan turut hadir memeriahkan pesta di adakan.

“Selain acara kebudayaan, kesempatan pengunjung juga boleh berswafoto bersama pimpinan kanan PPBM dan selebriti dari Kelantan.

“InsyaAllah, dijangka pimpinan tertinggi, Pengerusi Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden Datuk Seri Mukhriz Mahathir akan hadir bertemu pengunjung dalam pesta makanan ini nanti.

“Selain memperkenalkan 50 jenis makanan tradisi negeri Kelantan kita juga membuka peluang kepada usahawan Kelantan untuk mempamerkan produk-produk perniagaan mereka dengan menyediakan ruang jualan dan ‘car booth’ di luar dewan.

“Jadi sesiapa yang berminat untuk berniaga pada hari pesta tersebut boleh menghubungi pihak urusetia kami,” ujarnya.

Permohonan untuk mendapatkan tapak-tapak jualan yang disediakan masih dibuka sehingga tarikh akhir pada 1 Ogos depan.

Sesiapa yang berminat untuk mendapatkan kupon dan tapak jualan  boleh menghubungi: Kamaruddin Kassim di talian 019-2926760.

TAGS