Bersatu dakwa Pas putar belit fakta dalam kempennya

Zamri diminta belajar mengaji semula ekoran videonya buat pelbagai dakwaan palsu.

Pas didakwa menggunakan cara terbaru dalam kempennya iaitu putar belit fakta, kata Bersatu dalam satu kenyataan mereka.

Timbalan Pengerusi Biro Dasar & Strategi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Abu Hafiz Salleh Hudin berkata, video pendek ucapan Ustaz Zamri Zainuldin @ Zamri ‘Mantop’ melalui laman FB Pas Kawasan Tanjung Karang membuktikan perkara ini.

Katanya, dengan sangat yakin dan bangga, timbalan pesuruhjaya Pas Selangor itu menamakan Pakatan Harapan (PH) sebagai Pakatan DAP.

“Logiknya mudah, pimpinan utama PH melibatkan Tun Mahathir, Datuk Seri Anwar dan Haji Mohamad Sabu dikatakan telah berkompromi dan dengan mudah tunduk kepada Lim Kit Siang (LKS) dan DAP.

“Mereka telah berkompromi dan menerima LKS.

“Saya pelik sifir mudah beliau adalah siapa menerima LKS/DAP dikira tunduk patuh kepada LKS/DAP,” soal Abu Hafiz.

Katanya, jika demikian sifirnya, Pas dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidaklah sehebat mana seperti mana yang cuba digambarkan oleh penyokong tegar Pas kerana beliau pernah duduk bersama LKS/DAP di dalam Pakatan Rakyat sebelum ini.

Bukti lain pula, katanya adalah apa yang dicanangkan beliau adalah dalam polemik RUU 355.

“Penolakan RUU 355 yang dibawa oleh Pas bukanlah kerana ingin menolak Islam, tetapi Pas dilihat lebih bermain politik berbanding kejujuran ‘memperjuang’kan hukum Islam,” katanya.

Akhirnya, dakwa beliau, Pas dipermainkan oleh Umno sehingga penangguhan demi penangguhan dilakukan oleh Presiden Pas di Dewan Rakyat.

Malah dalam sidang terakhir tahun 2017, Presiden Pas bukan sahaja tidak menyambung perbahasan RUU 355 malah beliau langsung tidak hadir ke Dewan Rakyat, katanya.

Bagi beliau, permasalahan RUU 355 telah dibincangkan secara akademik oleh pelbagai pihak dengan penglibatan sebahagian sarjana-sarjana pengajian Islam.

“Kritikan mereka terhadap RUU 355 tiada kaitan langsung dengan LKS/DAP,” katanya.

Katanya, RUU 355 diperdebatkan kerana ia tidak boleh dianggap mewakili Islam secara mutlak dan wujud kejanggalan proses pembentangannya di Dewan Rakyat.

“Sekiranya RUU 355 mendapat sokongan dan restu pimpinan Umno, mengapa pula pindaan RUU 355 ini tidak dijadikan usul yang dibentangkan sendiri oleh Kerajaan? Bukankah itu lebih kuat dan mudah?” katanya.

 

9.2
OVERALL SCORE
: 8.0
4 user votes x 9.5
CATEGORIES