Bersatu Melaka sasar pecahkan kubu kuat Umno-BN di Parlimen,Dun

Bersatu Melaka sasar pecahkan kubu kuat Umno-BN di Parlimen,Dun

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berazam untuk memecahkan kubu kuat Barisan Nasional (BN) di Parlimen Jasin dan Alor Gajah serta menyasarkan 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) di Melaka.

Selain itu calon yang dijangka akan menduduki kerusi Parlimen dan Dun itu keutamaan diberikan kepada calon muda, berkebolehan memimpin dan disenangi pengundi di negeri itu.

Pengerusi Bersatu Negeri Melaka Mohd Radzuan Yusof berkata, dengan peningkatan keahlian parti itu dari masa ke semasa sehingga kini mencecah lebih 12,000 ahli, beliau yakin tidak sukar untuk mencari calon sesuai mewakili Parlimen dan Dun.

“Kita pernah berbincang dengan rakan dalam Pakatan Harapan ada dikalangan pemimpin mereka meyatakan bahawa untuk pakatan menakluki Melaka, PPBM perlu berusaha ke arah menumpaskan kerusi Umno.

“Sebelum ini Melaka tidak disenaraikan antara negeri sasaran PPBM, namun kerana melihat kepada potensinya hari ini daripada sokongan ahli dan rakan dalam pakatan, maka kita jadikan Melaka negeri yang akan menjadi tumpuan PPBM selain Johor dan Kedah.

“Kerusi hangat 13 Dun dan, PPBM dijangkakan boleh menang mudah sekurang-kurang 9 kerusi. Bagi kerusi Parlimen Jasin  dan Alor Gajah kerana ia kerusi tradisi Umno-MCA . Kekuatan pakatan bukan dari segi sentimen, jadi saya sebagai pengerusi negeri akan serah kepada keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan sama ada bersetuju untuk meletakkan calon PPBM di kerusi tersebut,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Dalam pilihan raya umum ke-13 lalu BN memperoleh 4 kerusi Parlimen manakala DAP dan PKR masing-masing 1 kerusi.

Mohd Radzuan yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi memberitahu Pakatan Harapan begitu positif bersedia memberi keutamaan negeri-negeri itu diberikan kepada Bersatu dalam PRU-14.

“Ini kerana dari segi prinsipnya untuk Pakatan Harapan menawan Melaka adakah kita mahu didominasi pemimpin Melayu atau pemimpin Cina terhadap kerusi-kerusi dipertandingan kelak?

“Dengan kelebihan kerusi DAP di negeri ini, sudah tentu Umno akan memainkan isu perkauman untuk melemahkan pakatan harapan di negeri itu terhadap pengundi Melayu.

“Dengan sokongan orang Melayu terhadap PPBM, saya yakin rakan dalam Pakatan Harapan bersedia untuk menyerahkan lebih kerusi kepada kami di kawasan yang ramai pengundi Melayu dan kerusi-kerusi yang mereka kalah dalam pilihan raya lalu,” ujarnya.

Pada 9 Julai lalu sambutan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitiri  yang diadakan parti itu di Melaka  memperoleh  tambahan ahli berdaftar sejumlah 770 orang dengan kehadiran lebih 20,000 penyokong.

Mengenai keahlian Bersatu di negeri itu, Ketua Bahagian Alor Gajah ini berkata, kebanyakan ahli terdiri dikalangan generasi muda yang menaikkan lagi semangat perjuangan parti yang tidak sampai setahun penubuhannya ini.

“Kajian kita mendapat 25% ahli Umno sudah menyertai PPBM di Melaka. Ia meliputi segenap lapisan masyarakat dan kebanyakannya adalah penyertaan generasi muda yang amat tertarik dengan perjuangan PPBM,” ujarnya.

Ditanya sama ada beliau berminat untuk menjadi calon di kerusi Parlimen Alor Gajah itu kelak, Mohd Radzuan seorang usahawan ini berkata:”saya tidak berminat, bagilah orang muda memimpin. Saya akan berusaha mencari calon yang benar-benar berpotensi dan sesuai untuk menjadi wakil rakyat mereka di negeri ini,” ujarnya.

Difahamkan beberapa perbincangan sudah pun dibuat sebelum ini antara rakan Pakatan Harapan berkaitan dua parlimen itu yangdimenangi wakil rakyat dari  Umno-MCA itu  dalam PRU13 lalu yang menjadi sasaran Bersatu  tetapi ia masih belum dimuktamadkan di peringkat negeri dan pusat.

TAGS