Bersatu rangka pelan bertindak Bahasa Melayu, desak Pas

Bersatu rangka pelan bertindak Bahasa Melayu, desak Pas

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Bahasa Melayu adalah faktor sepunya sebagai teras solidariti budaya di negara ini justeru usaha yang serius mesti dirintis bagi memastikan Bahasa Melayu terus diarusperdanakan.

Ketua Penerangan Pas Nasudin Hassan berkata, dalam usaha merangka Indeks Perpaduan Negara elemen bahasa harus menjadi kriteria dalam indeks berkenaan.

“Tambahan pula, peningkatan bilangan pemimpin pelbagai kaum di semua peringkat boleh menjadi cerminan kepada tahap penguasaan dan penggunaan Bahasa Melayu di Malaysia.

“Saya sangat mengharapkan agar Bahasa Melayu menjadi bahasa penting dalam penghayatan ilmu pengetahuan.

“Saya tetap yakin bahawa penyampaian ilmu dalam Bahasa Melayu lebih banyak memberikan impak positif terhadap rakyat sama sepertimana yang diamalkan di negara-negara sedang membangun seperti Jepun, Korea dan Taiwan.

“Saya mensasarkan dalam rancangan pelan bertindak ini, Bahasa Melayu harus diangkat menjadi bahasa dunia dalam tempoh yang singkat,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Nasarudin yang juga Ahli Parlimen Temerloh berkata demikian mengulas forum anjuran Persatuan Penulis Nasional (Pena) terhadap nasib Bahasa Melayu yang mahukan disusuli dengan tindakan kolektif pelbagai pihak untuk memperkasakan semula fungsi bahasa Melayu.

“Secara tidak langsung, saya menyeru semua pihak turut sama-sama menilai keberkesanan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI), merevisi akta-akta yang berkaitan seperti Akta Pendidikan 1996 dan Akta IPTS 1996, kejituan kehendak institusi-institusi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, seterusnya pengamalan di segenap ruang.

“Saya menyeru sekali lagi agar pelan bertindak secara kolektif mesti digembleng dalam masa terdekat agar bahasa Melayu terus menjadi agenda penting negara,” ujarnya.

TAGS