Bersediakah negara hadapi kebakaran bangunan tinggi bila bajet dipotong?

Bersediakah negara hadapi kebakaran bangunan tinggi bila bajet dipotong?

Kebakaran pangsapuri Grenfell London perlu menjadi pengajaran kepada negara ini apatah lagi peruntukan untuk operasi penyelamat telah berkurang secara mendadak dalam bajet 2017.

Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin berkata, kebakaran yang memusnahkan pangsapuri Grenfell, London menimbulkan persoalan tentang kemampuan dan kesediaan negara menghadapi kebakaran bangunan tinggi.

“Dalam keadaan Malaysia yang menyaksikan pembinaan ribuan bangunan pencakar langit yang berpuluh-puluh tingkat tingginya, persoalannya adakah Malaysia bersiap sedia jika berlaku kebakaran di bangunan tinggi?

“Adakah peruntukan kerajaan kepada pasukan Bomba boleh menangani pembangunan bangunan tinggi yang begitu pesat?” soal Pengarah Strategi Pusat PKR itu.

Menurut Sim, walaupun kerajaan memperuntukan lebih kurang RM888 juta kepada Bomba dan Penyelamat Malaysia dalam bajet 2017 namun peruntukan untuk operasi penyelamat telah berkurang secara mendadak.

“Ini disebabkan oleh pemotongan bajet 2017 oleh Menteri Kewangan dan Perdana Menteri Najib,” katanya.

Beliau memberi contoh peruntukan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam Butiran Bomba dan Penyelamat Malaysia untuk Latihan telah berkurangan 15.8% dari RM13.67 juta (2016) kepada RM11.5 juta (2017).

Peruntukan pembangunan juga telah berkurangan 45% dari RM3.46 juta (2016) kepada RM1.89 juta (2017) manakala peruntukan Operasi Kebombaan dan Penyelamat telah berkurangan 13.3% dari RM63.46 juta (2016) kepada RM55 juta (2017).

Peruntukan Keselamatan Kebakaran juga, katanya telah berkurangan 9.5% dari RM8.1 juta (2016) kepada RM7.3 juta (2017), malah peruntukan Kejuruteraan Jentera telah berkurangan 12.4% dari RM 63.5 juta (2016) kepada RM55.6 juta (2017).

Sim menambah, bajet bagi Penyiasatan Kebakaran juga telah berkurangan 6.8% dari RM7 juta (2016) kepada RM6.6 juta (2017).
“Peruntukan operasi ini adalah penting untuk kerja-kerja pemadam api, penyelamat dan juga menyelenggarakan jentera dan membeli kelengkapan yang baru.

“Pemotongan bajet akan menjejaskan operasi pasukan Bomba dan mungkin meletakkan pasukan bomba kita dalam keadaan berisiko,” tegasnya.

Sim juga kesal kerana program khusus kementerian yang melibatkan bomba telah dipotong secara habis-habisan.

“Contohnya Insurans Bomba diperuntukan RM2.84 juta (2016), dipotong sehingga RM 0 (2017). Latihan Pegawai Bantuan Bomba (PBB) dan Perkhidmatan Penyelamat dan Perawatan Kecemasan (EMRS) diperuntukan RM2.7 juta (2016) dipotong sehingga RM 0 (2017).

“Peruntukan Peralatan Pelindung Diri Pegawai Bomba diperuntukan RM7.9 juta (2016), dipotong sehingga RM 0 (2017). Peralatan Pelindung Diri (PPE) Pegawai Bomba Bantuan diperuntukan RM6.9 juta (2016), dipotong sehingga RM 0 (2017).

“Peralatan Pelindung Diri (PPE) Pegawai Bomba Sukarela diperuntukan RM1.1 juta (2016), dipotong sehingga RM 0 (2017). PPE Juruterbang diperuntukan RM 254,000 (2016), dipotong sehingga RM 0 (2017). Semua peralatan ini adalah penting untuk keselamatan pasukan Bomba kita,” ujarnya.

Sehubungan itu beliau menggesa menteri berkenaan menjelaskan sama ada peruntukan Bomba untuk tahun 2017 cukup bagi melengkapkan pasukan bomba menangani segala kemungkinan termasuk kebakaran pada bangunan tinggi?

Sim turut menggesa kementerian menjalankan semula operasi audit kelengkapan bomba di semua bangunan tinggi di seluruh negara di samping menyelesaikan masalah kelengkapan bomba yang telah usang, hilang dan tidak berfungsi.

TAGS