Bersih 5: Najib bimbang berlaku pertembungan  dua penyokong

Bersih 5: Najib bimbang berlaku pertembungan dua penyokong

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Mohd Najib Razak melahirkan perasaan bimbang sekiranya berlaku pertembungan fizikal antara penunjuk perasaan ‘Baju Merah’ dan ‘Baju Kuning’ semasa penganjuran perhimpunan Bersih 5.0 yang dirancang di Kuala Lumpur Sabtu ini.

“Jika sebelah pihak mahu membuat bantahan dan sebelah pihak lagi mahu melindungi kerajaan dan terpanggil untuk hadir…tetapi saya tidak mahu sebarang pertembungan fizikal.

“Malah rusuhan ala Arab Spring yang kononnya tanda bermulanya era perubahan, tetapi sebaliknya, ia membawa kepada kesengsaraan kepada rakyat yang terlibat,” katanya.

Bagaimanapun, satu lagi pergerakan, yang menamakan kumpulan Baju Merah, mendakwa Bersih bertujuan menggerakkan agenda asing untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada dan mengugut untuk menganjurkan perhimpunan balas di tempat sama dan pada hari yang sama.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengulangi pada Rabu bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur tidak akan memberi kebenaran Dataran Merdeka digunakan sebagai tempat perhimpunan Bersih pada Sabtu ini.

Bercakap kepada wartawan Malaysia pada Rabu malam pada hari terakhir lawatan kerja tiga hari ke Jepun, Najib berkata rakyat berpeluang untuk memilih kerajaan pilihan mereka apabila pilihan raya umum diadakan.

“Waktu yang terbaik untuk membuat keputusan ialah apabila tiba masanya. Pilihan raya akan diadakan dan rakyat boleh membuat pilihan dan kami akan mematuhi keputusan yang dipilih rakyat. Itu adalah penting,” katanya.

Tempoh pilihan raya umum Malaysia ke-14 dijangka berakhir pada Jun 2018.

Rusuhan Arab Spring adalah siri protes antikerajaan, iaitu kebangkitan rakyat dan pemberontakan bersenjata yang tersebar di Timur Tengah pada awal tahun 2011.

Bersih, yang memilih warna kuning sebagai lambang perjuangan mereka, adalah sebuah pergerakan yang menuntut pembaharuan sistem pilihan raya di Malaysia, dan merancang untuk menganjurkan perhimpunan pada Sabtu ini di Dataran Merdeka di tengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur.

TAGS