Bersih 5: Polis tidak konsisten lakukan 15 tangkapan?

Bersih 5: Polis tidak konsisten lakukan 15 tangkapan?

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 

Tangkapan awal yang dibuat polis terhadap 15 pemimpin politik, AJK Bersih dan aktivis pelajar jelas menunjukkan bahawa pihak polis langsung tidak konsisten dengan pendirian mereka berkenaan penganjuran perhimpunan aman Bersih 5 pada Sabtu lalu.

Timbalan Pengerusi Kanun Wan Anwar Wan Ibrahim berkata, walaupun biro itu menyambut baik cara pengendalian polis terhadap perhimpunan Bersih 5 terutama sekali mengelakkan pertembungan dengan kumpulan Baju Merah namun tindakan pihak keselamatan tersebut juga bercanggah dengan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang membenarkan perhimpunan aman Bersih 5 dan Perlembagaan Persekutuan.

Semalam polis telah membebaskan 10 daripada 15 tahanan.

Mereka ialah anggota jawatankuasa Bersih Mandeep Singh Karpall Singh, anggota DAP Ronnie Liu Tian Khiew, anggota DAP Wong Chee Wai @Jimmy Wong dan anggota jawatankuasa Parti Sosialis Malaysia S. Arutchelvam.

Selain itu, turut dibebaskan aktivis pelajar Muhamad Luqman Nul Haqim Zul Razali, Anis Syafiqah Md Yusof, Lee Khai Meng dan Safwan Anang.

Dua aktivis Baju Merah yang dibebaskan pula ialah Hairol Nizam Md Nor dan Razali Zakaria.

Kanun juga menggesa supaya tiada sebarang pendakwaan dikenakan terhadap kesemua mereka yang ditahan kerana telah terbukti bahawa Bersih 5 adalah satu perhimpunan yang sememangnya aman serta mengikut lunas undang-undang.

“Kebanyakan daripada mereka ditempatkan di Balai Berpusat Jinjang dan ada yang ditahan di IPD Dang Wangi seperti Puan Maria Chin dan saudara Mandeep Singh, 2 pemimpin kanan Bersih.

Permohonan reman lanjutan selama 4 hari oleh polis hanya dibenarkan selama 2 hari sahaja bermula semalam selepas dibantah keras oleh pasukan peguam yang antaranya terdiri daripada Puan Ashwida daripada Kanun, Gobind Singh dan Sivarasa Rasiah.

Ada di kalangan mereka yang telah dibebaskan termasuk saudara Mandeep di IPD Dang Wangi sementara yang lain dijadualkan akan dibebaskan selewat-lewatnya hari ini sementara menunggu pendakwaan jika ada.

Manakala Maria Chin masih disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (‘Akta 747’) masih belum dibebaskan.

“Kanun juga seperti yang telah dinyatakan komitmen sebelum ini telah bersedia dengan pasukan peguam untuk membela mana-mana individu yang ditahan tersebut sekiranya didakwa.” ujarnya dalam satu kenyataan.

TAGS