Bersih 5 satu titik mula, kata Pemuda Amanah

Bersih 5 satu titik mula, kata Pemuda Amanah

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Bersih 5.0 adalah satu titik mula dalam melihat sejauh mana rakyat mampu ke depan mendesak perubahan, tegas Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional, Shazni Munir Mohd Ithnin

“Sebab itu aktivis dan pendukung Amanah lakukan siri bantahan dan desakan sebanyak-banyaknya. Jumpa segera pihak SPR, berdialog.

“Tuntutan Bersih akan datang supaya persempadanan semula tidak dibuat secara gerrymandering dengan persempadanan yang menguntungkan pihak tertentu,” ujarnya pada Malam Gema Amanah di Muar, Johor semalam.

Beliau berkata, persempadanan semula yang tidak adil mesti dihapuskan melalui perhimpunan Bersih 5 yang disertai jutaan rakyat.

“Amanah bersama rakan-rakan dalam Pakatan Harapan juga Bersatu memikul tanggungjawab besar sama ada mampu atau kecundang pada pilihan raya umum akan datang, jawapan ada pada kita.

“Di depan kita sengaja diletakkan masalah untuk melambatkan perubahan.

“Sebab itu kita ingatkan persempadanan semula yang sedang dirancang dan dipersetujui Najib sebagai Pengerusi BN itu merupakan satu perkara yang kita perlu tempuhi terlebih dahulu,” ujarnya sebagai pembuka tirai acara sebelah malam sempena karnival sambutan setahun Amanah.

Sehubungan itu, beliau mendesak satu bentuk keadilan yang lebih tuntas dalam menuntut persempadanan kawasan pilihan raya lebih adil kepada parti yang bertanding.

“Langkah untuk kita lakukan perubahan semakin jauh. Persempadanan semula perlu dijelaskan kepada rakyat dengan bantahan secara besar-besaran.

“Sebab itu 19 November menjadi tarikh bersejarah untuk seluruh rakyat turun buat bantahan secara benar-besaran dalam Bersih 5,” tegas Shazni lagi.

TAGS