Bersih beritahu polis untuk berkumpul berhampiran Dataran Merdeka 19 Nov

Bersih beritahu polis untuk berkumpul berhampiran Dataran Merdeka 19 Nov

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Bersih mengemukakan notis ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan Brickfields untuk perhimpunan 19 November.

Ini dilakukan selepas tiga hari, kumpulan penenentangnya yang diketuai oleh Ketua Bahagian Umno Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunus mengemukakan notis sendiri untuk perhimpunan berasingan pada tarikh yang sama.

“Kami telah mengemukakan notis kepada Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dan Brickfields,” kata pengerusinya, Maria Chin Abdullah semalam.

Dalam notis itu, menurut Maria, Bersih memaklumkan kepada polis bahawa mereka akan berkumpul berhampiran Dataran Merdeka.

Bagaimanapun, Bersih masih belum memutuskan lokasi pesertanya akan berkumpul.

Jamal yang menerajui gerakan baju merah, sebelum ini memberitahu Malaysiakini bahawa mereka telah mengemukakan notis untuk berhimpun pada 5 dan 19 November kepada pihak polis.

Mengulas pertembungan tarikh itu, dan kemungkinan polis hanya membenarkan satu perhimpunan pada 19 November memandangkan gerakan baju merah mengemukakan notis lebih awal, Maria berkata pihaknya tidak akan berganjak.

“Kita tidak akan tukar masa, tarikh dan tempat. Kita akan lihat apa polis kata (terlebih dahulu),” katanya kepada Malaysiakini.

Menurutnya, keputusan Bersih berhubung masa dan tempat perhimpunan itu adalah muktamad.

Sementara itu, Maria berkata dakwaan Ketua Polis Negara bahawa penganjur himpunan Bersih 5 sengaja tidak mahu mengikut peraturan adalah mengarut dan melulu.

Beliau menyangkal tuduhan Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mendakwa Bersih sengaja mahu polis bertindak ke atas mereka untuk menarik perhatian masyarakat antarabangsa.

“Saya rasa beliau mengeluarkan kenyataan tanpa mengetahui kita sudah pun menghantar notis 10 hari kepada polis hari ini,” katanya seperti dipetik Free Malaysia Today.

TAGS