Bersih boleh berhimpun jika bukan jatuhkan pemimpin negara, kata KPN

Bersih boleh berhimpun jika bukan jatuhkan pemimpin negara, kata KPN

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

 Pihak polis membenarkan perhimpunan aman sekiranya ia bukan bertujuan untuk menjatuhkan pemimpin negara, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Malah, Khalid juga berkata, mana-mana pihak yang ingin menganjurkan perhimpunan aman diminta memaklumkan dalam tempoh 10 hari bagi membolehkan polis menjalankan tugas.

” Kami tak larang selagi sebab perhimpunan itu dibenarkan undang-undang dan perlembagaan. Tetapi sebarang perhimpunan untuk menjatuhkan pemimpin negara, itu sama sekali tak dibenarkan.

“Akta Perhimpunan Aman adalah akta untuk berhimpun secara aman dan kami yang sepatutnya memudahkan perhimpunan itu.

“Jadi beri kami masa 10 hari supaya boleh bantu merancang perhimpunan itu agar berjalan dengan aman,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini seperti dilapor Malaysiakini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung perhimpunan BERSIH 5.0 yang akan diadakan November depan.

Ditanya mengenai kemungkinan berlakunya pertembungan kumpulan BERSIH dan kumpulan Baju Merah pada perhimpunan tersebut, Khalid berkata beliau akan memastikan perkara berkenaan tidak akan berlaku.

“Kita tak akan membenarkan sebarang pertembungan sedemikian. Apa pun kita perlu lihat permohonan mereka.

“Kita akan ambil tindakan bila sampai masanya,” katanya lagi.

TAGS