Bersih mahu polis arah Baju Merah berhimpun pada tarikh lain

Bersih mahu polis arah Baju Merah berhimpun pada tarikh lain

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Polis perlu mengarahkan kumpulan Baju Merah supaya mengadakan perhimpunan pada tarikh berbeza memandangkan mereka mengakui bahawa ia adalah perhimpunan balas.

Bersih dalam satu kenyataan hari ini dipetik berkata adalah menjadi tanggungjawab pihak berkuasa untuk menyediakan tarikh, masa dan tempat alternatif untuk perhimpunan balas itu sebagaimana yang diperuntukkan di bawah seksyen 18 Akta Perhimpunan Aman (PAA) 2012.

“Gerakan Baju Merah yang diketuai oleh (Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri) Jamal Md Yunos telah, dari awal, mengakui tindakan mereka sebagai perhimpunan balas, khususnya untuk membantah Bersih.

“Bersih akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis pada Sabtu, 19 Nov ini.

“Kami menggesa pihak polis supaya tidak menggunakan gas pemedih mata atau menangkap mana-mana peserta kami kerana kami telah mematuhi undang-undang,” kata ahli jawatankuasa pemandu BERSIH dalam satu kenyataan.

Bersih akan mengadakan perhimpunan kali kelima esok di Dataran Merdeka yang menuntut pelaksanaan pembaharuan pilihan raya dan demokrasi, dan khususnya, supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan berhubung skandal 1MDB.

Bersih juga berkata mahkamah semalam merujuk Seksyen 18 dalam keputusannya untuk menafikan permohonan injuksi menghalang perhimpunan tersebut sebagai alasan tambahan kepada polis untuk mengarahkan Jamal supaya menjadualkan semula perhimpunan balasnya.

TAGS