#Bersih5: Pemuda Pakatan Harapan lancar ‘Yellow Weekend’

#Bersih5: Pemuda Pakatan Harapan lancar ‘Yellow Weekend’

Pemuda Pakatan Harapan hari ini menggerakkan kempen bersepadu "Yellow Weekend" dengan menyeru masyarakat awam memakai baju-T #Bersih5 atau kemeja berwarna kuning pada setiap Sabtu dan Ahad.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pemuda Pakatan Harapan hari ini menggerakkan kempen bersepadu “Yellow Weekend” dengan menyeru masyarakat awam memakai baju-T #Bersih5 atau kemeja berwarna kuning pada setiap Sabtu dan Ahad.

Kempen ini bertujuan menggelombangkan #Bersih5 di kawasan-kawasan kampung, lokasi-lokasi awam, pejabat-pejabat awam dan swasta, lingkungan-lingkungan persendirian dan universiti-universiti.

Dalam sidang media yang berlangsung di Wisma Amanah Negara, Kuala Lumpur, siang tadi, Pemuda AMANAH Nasional, Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Pemuda Sosialis DAP (Dapsy) bersepakat melancarkan kempen berkembar bagi menolak perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang terpalit dengan pelbagai isu dan skandal.

Sehubungan itu, Pemuda Pakatan Harapan menyeru rakyat agar mengubah profail gambar di media-media sosial dengan logo #Bersih5 serta menaikkan gambar dan status setiap pendokong dengan hashtag #19November #Bersih5.

Sidang media Pemuda Pakatan Harapan itu dihadiri Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Sany Hamzan, Ketua AMK Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ketua Dapsy Kebangsaan Wong Kah Woh.

Beberapa pemimpin Pemuda Pakatan Harapan turut hadir.

“Malaysia mutakhir ini berada dalam keadaan yang cukup membimbangkan. Selepas terpalit dengan pelbagai isu dan skandal, barisan pemerintah kleptokrasi pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kini semakin gila dan terdesak untuk mengekalkan kuasa.

“Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang memusatkan kuasa pengisytiharan ‘darurat’ di tangan Perdana Menteri telah pun dikuatkuasakan walau undang-undang ini bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Pelan melukis sempadan pilihanraya ala ‘gerrymandering’ pula bakal membunuh suara rakyat, hanya dengan satu matlamat, mengekalkan kepimpinan kleptokrasi. Skandal rompakan berbilion ringgit wang 1MDB melibatkan Perdana Menteri mahu terus didiamkan hingga beban hutang yang mencecah lebih RM50 bilion bakal ditanggung rakyat kelak,” kata tiga pemimpin pemuda Pakatan Harapan itu dalam satu kenyataan bersama.

Justeru Pemuda Pakatan Harapan menyeru seluruh rakyat agar bersama-sama dalam Himpunan #Bersih5 yang bakal diadakan di Kuala Lumpur pada 19 November 2016 kerana ia bukan lagi menjadi satu pilihan bahkan kewajipan.

“Menuntut satu reformasi pilihan raya yang bersih dan adil serta desakan agar suara rakyat (undi) tidak dimanipulasi untuk mengekalkan Datuk Seri Najib Razak.

“Dengan keadaan negara yang kian tenat, dengan kepimpinan negara yang ‘pekak’ dengan suara perubahan anak muda, lantas kami menyeru kehadiran ribuan anak muda, bandar dan luar bandar, di universiti awam mahupun swasta, bekerja mahupun menganggur, bujang mahupun berkahwin, yang dinafikan hak biasiswa hinggalah disenaraihitam PTPTN, tanpa mengira perbezaan ideologi politik dan kaum, ke Himpunan #Bersih5,” kenyataan media itu dipetik.

Bagi menggembleng seluruh kekuatan sayap muda ketiga-tiga parti, bulan November diisytiharkan sebagai #BulanBersih dengan gerak kerja di setiap peringkat sama ada nasional, negeri, parlimen dan cawangan-cawangan akan menghala ke arah mobilisasi Himpunan #Bersih5.

Pemuda Pakatan Harapan juga akan menggerakkan ‘flashmob’ serentak di seluruh negara pada 14 November 2016.

‘Flashmob’ besar-besaran itu akan disertai dengan ceramah kelompok dan edaran risalah berhubung tuntutan #Bersih5.

TAGS