Berunding, muktamadkan agihan kerusi gesa Pemuda Amanah

Berunding, muktamadkan agihan kerusi gesa Pemuda Amanah

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pemuda Amanah Wilayah Persekutuan menggesa rundingan bagi agihan kerusi yang akan dipertandingkan oleh gabungan parti dalam Pakatan Harapan dilakukan pada kadar segera.

Ketuanya, Mohd Hafiz Habil berkata, Pakatan Harapan perlu lebih serius membincangkan hal berkenaan memandangkan Parlimen akan dibubarkan kurang dua tahun daripada sekarang atau selewat-lewatnya pada 24 Jun 2018.

“Dalam pada itu, dikhabarkan Datuk Seri Najib akan membubarkan Parlimen lebih awal melihat kepada skandal kewangan, kegawatan ekonomi serta kondisi pembangkang yang dilihat tidak bersatu,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, jentera parti akan dapat digerakkan dengan lebih berkesan, fokus dan terarah sekiranya rundingan tersebut dapat dimuktamadkan lebih awal.

“Selain itu, calon-calon yang berpotensi dapat dipromosi dan diposisikan dengan lebih berkesan,” katanya.

Mengulas lanjut, Hafiz berkata, kelewatan Pakatan Harapan membuat keputusan dalam menentukan parti yang bertanding bagi Pilihan Raya Kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar pada 18 Jun lalu juga sedikit sebanyak menjejaskan moral petugas dan memberi kesan kepada strategi kempen di akar umbi sama seperti apa berlaku pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11, 7 Mei lalu.

“Pada saat BN dan Pas sudah mengumumkan calon, pimpinan Pakatan Harapan masih terkial-kial mencari tarikh mesyuarat. Justeru, kami berharap agar perkara ini diselesaikan segera agar Pakatan Harapan benar-benar hidup setelah diberi nyawa baharu!” tegasnya lagi.

TAGS