Biar cacing dapat telan ular, Pas tetap tidak bersama pembangkang, tegas Subky

Biar cacing dapat telan ular, Pas tetap tidak bersama pembangkang, tegas Subky

Pembangkang khususnya Pakatan Harapan dinasihatkan supaya tidak membuang masa menunggu Pas bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU14) dan menjatuhkan Perdana Menteri dan BN.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pembangkang khususnya Pakatan Harapan dinasihatkan supaya tidak membuang masa menunggu Pas bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU14) dan menjatuhkan Perdana Menteri dan BN.

Nasihat itu diutarakan veteran Pas dan bekas pemimpin utama parti itu, Subky Latif.

“Usah pedulikan Pas dan usah tunggu Pas!” pintanya dalam artikel yang diterbitkan Harakahdaily.
     
Menurut Subky, Pakatan Harapan kini mempunyai tiga parti gabungan yang sama bilangan dengan Pakatan Rakyat yang ‘ditinggalkan’ Pas dan kedudukannya sama dengan  Pakatan Rakyat bagi tahun 2008 hingga 2013.
     
Tambah beliau, tentangan terhadap BN juga dikuatkan dengan kehadiran parti baru yang ditubuhkan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Dari menyindir dan mengata Pas begitu dan begini, membuang masa pembangkang saja. Tiada apa gunanya memikirkan Pas dipercayai atau tidak jika diadakan perbincangan dengannya bagi mengajaknya bersama,” ujarnya.

Penulis prolifik itu juga mendakwa Pas telah membuat keputusan tegas bila membatalkan kerjasama politik dengan DAP dan nekad untuk menghadapi untung rugi politik daripada keputusan itu.

Malah selagi DAP dipimpin oleh Lim Kit Sing dan Lim Guan Eng, beliau yakin kerjasama politik (tahaluf siyasi) dengan parti itu tidak akan disambung semula.
     
Kehadiran kumpulan bekas pemimpin dan ahli Pas yang dianggap “pemberontak dan meninggalkan jamaah” dalam barisan pembangkang juga, jelasnya menjadi faktor utama mengapa Pas enggan menyertai blok pembangkang.

“Mana logiknya jamaah dapat duduk bersama dengan kumpulan yang meninggalkannya duduk bersama bagi menghadapi/mencari kebaikan bersama sedang tanpa mengaku mereka bersalah?
     
“Sekalipun mereka 100 peratus betul bertindak memecah parti, tetapi yang dibangsakan meninggalkan jamaah, tetapi dikira salah oleh jamaah yang ditinggalkan. Maka harapan jamaah untuk duduk sebagai abang adik adalah tidak mungkin,” katanya.

Subky membuat kesimpulan bahawa selagi DAP dan ‘pelarian Pas’ (yang membentuk Amanah) berada dalam pakatan pembangkang, Pas tidak akan menjadi sebahagian daripadanya.

“Mungkin dalam dua keadaan Pas boleh kembali ke pangkuan Pakatan. Pertama, DAP sedia terima perjuangan menegakkan hudud yang tidak melibatkan bukan Islam. Dan kedua tolak penyertaan pemberontakan Pas dalam gabungan pembangkang,” ujarnya.
       
Sambil menyifatkan dua kemungkinan itu sebagai mustahil, beliau yakin tiada sesiapa pun yang dapat membawa Pas kembali dalam muafakat pembangkang sekalipun mengalahkan BN-Umno kali ini adalah satu cita-cita yang mulia.
      
“Sekalipun Mahathir dan Anwar dapat cantumkan otak mereka yang bergeliga itu, Pas tetap macam sepat tak makan pancing berumpan emas. Biar kucing bertanduk, cacing dapat telan ular, Pas bersama rakan-rakannya selesa bersendiri.
     
“Pembangkang buatlah apa yang patut! Jangan buang masa menunggu Pas!” tegas Subky.

TAGS