Biarkan Pas jalan sendiri, usah dirayu lagi!

Biarkan Pas jalan sendiri, usah dirayu lagi!

Ketika Pas mula bergolak menjelang pemilihan kepemimpinan parti pada 2015, sudah ada kerisauan sesuatu yang pelik bakal berlaku. Ketegangan bukan lagi pada tahap lazim seperti dalam muktamar-muktamar sebelumnya. Kemungkinan proses pembersihan atau bahasa kasarnya “penghapusan etnik” ekoran pendekatan politik yang berbeda.

Setandan barisan pemimpin yang digelar Erdogan atau dilabel Anwarinas gugur serentak. Dalam muktamar di Kuala Selangor itu, melalui usul yang diluluskan dalam Dewan Ulamak Pas Pusat, persefahaman politik dengan DAP juga diputuskan, tetapi tanpa perbahasan. Ketetapan diambil dengana arahan seorang dua pemimpin tertinggi walaupun beberapa perwakilan bangun mohon untuk dibahaskan.

Secara tidak rasminya, Pakatan Rakyat sudah berkubur apabila Pas mengambil keputusan untuk menyingkirkan DAP. Mohamad Sabu yang gagal mempertahankan kerusi timbalan presiden mengumumkan dalam ucapan penangguhannya peletakan jawatan sebagai lembaga pengarah dalam sebuah GLC kerajaan negeri Pulau Pinang, menghormati usul memutuskan hubungan dengan DAP.

Perhatian kemudiannya tertumpu kepada kedudukan Pas dalam kerajaan negeri Selangor. Apakah wakil Parti Islam itu, terutama tiga orang Exconya masih boleh berfungsi dengan baik, bersama-sama tiga Exco daripada DAP, yang pastinya dilihat menentang agenda Islam Pas? Bagaimana pula dengan posisi wakil Pas dalam pihak berkuasa tempatan (PBT) atau majlis daerah, yang bersama mereka juga ada wakil DAP?

Pakatan Rakyat terkubur

Pas tidak terhenti di situ sahaja. Hubungan lamanya dengan PKR, sejak 1999, mula diungkit-ungkit. Semua maklum tentang tahaluf siyasi dengan parti reformasi itu tidak melalui jalan mudah, terutama dalam konteks agihan kerusi dalamm konstituesnsi hampir sama dan kerjasama semasa proses pilihan raya. Pas merasakan mereka terlalu banyak berkompromi dan mengalah dengan sebuah parti baru yang kekurangan penggerak, jentera dan dana.

Kemuncaknya, dalam muktamar di Alor Setar, tidak sampai dua tahun selepas memutuskan hubungan dengan DAP, usul diluluskan selepas perbahasan, iaitu kerjasama politik dengan PKR juga ditamatkan. Maka secara rasminya, Pakatan Rakyat terkubur. Namun kedudukan Pas dalam kerajaan Selangor yang diketuai menteri besar daripada PKR tidak juga terjejas. Dalam masa sama, MB Azmin Ali tidak pula bersedia untuk memecat tiga Exco Pas atas alasan menghormati keputusan rakyat dalam PRU13.

Ramai pemerhati politik merasakan ada kejanggalan besar, merujuk persiapan parti pembangkang menghadapi PRU14. Pakatan Harapan yang dibentuk menggantikan Pakatan Rakyat tidak nampak mantap dan padu, terutama apabila dikaitkan dengan faktor Pas. DAP, Parti Amanah Negara dan Bersatu seolah-olah sudah sepakat sikap mereka terhadap Pas, walaupun pada awalnya ada segelintir pemimpin dalam parti baru yang diterajui Dr Mahathir Mohamad itu berpendapat masih ada ruang untuk berkelaborasi dengan Pas.

Masalah timbul apabila PKR terbahagi dua; ada kumpulan yang merasakan Pas masih boleh dirundingi untuk mengelak pertandingan tiga penjuru dalam PRU14. Bagi
kumpulan yang diketuai Azmin ini, Pas mempunyai sokongan dan pengaruh yang kuat dalam masyarakat Melayu. Tanpa Pas bersama gabungan mega pembangkang, nescaya Umno-BN menang mudah, malah mampu meraih kembali majoriti dua pertiga di Parlimen. Juga kemungkinan Pakatan Harapan bakal kehilangan Selangor.

Memang ada kewajaran pandangan kumpulan Azmin ini, apatah lagi sikap dan pendekatan mereka disokong laporan kajiselidik oleh Merdeka Centre dan Institut Darul Ehsan (yang khabarnya dekat-akrab dengan Azmin sendiri). Namun ia masih boleh disanggah atau sekurang-kurangnya diragui terutama apabila dilihat perbedaan ketara jalur pemikiran dan strategi kepemimpinan Pas sejak 2015.

Selain hujah Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, yang mewakili kumpulan yang bertembung Azmin, berpandukan laporan kaji selidik Invoke, kenyataan dan respons pemimpin Pas selama ini turut menggambarkan mereka bukan lagi “parti pembangkang yang boleh dipercayai”.

Pas berubah sikap

Situasi jauh berbeda ketika Barisan Alternatif kehilangan DAP menjelang pilihan raya 2004 dahulu. Pas tetap mempertahankan prinsip sebagai oposisi berwibawa dan berintegriti. Tidak ada gosip sama sekali yang mempersoalkan kesetiaan Pas bersama rakan-rakan pembangkang walaupun BA menjadi pincang dan lemah. Pas putus hubungan dengan DAP tetapi kedua-duanya bukan musuh politik, sebaliknya dalam PRU2008 hubungan tidak rasmi berjalan baik dan lancar. Di beberapa negeri tertentu kerjasama erat terus berlangsung, seolah-olah Barisan Alternatif tidak menghadapi sebarang masalah.

Suasana sekarang jauh berbeda. Biarpun dinafikan berulang kali bahawa Pas seperti menjalin hubungan “pintu belakang” dengan Umno, tetapi pendekatannya yang lunak dan lembut dengan kerajaan pimpinan Najib Razak sukar disembunyikan lagi.

Tambah ketara apabila sikap Pas, terutama melalui kenyataan presidennya, Ustaz Abdul Hadi Awang cukup keras menyentuh parti-parti pembangkang yang lain. Nampak pintu tertutup rapat untuk sebarang rundingan, dengan awalnya, pakatan pembangkang yang mengandungi DAP dan Parti Amanah Negara. Pas juga seperti berkerat-rotan dengan Pengerusi Bersatu, Dr Mahathir yang kemudiannya dilantik Pengerusi Pakatan Harapan.

Ustaz Hadi konsisten menolak sama sekali DAP dan Amanah, malah kedua-dua parti itu menerima gelaran yang buruk dan negatif. Tidak berhenti setakat itu, PKR yang menjadi sekutu rapatnya selama hampir 20 tahun dan menerima impak positif daripada hubungan itu pun, bukan sahaja dicurigai malah dikecam hebat sehingga ditamatkan secara rasmi tahaluf siyasi.

Memang diakui rekod Dr Mahathir selama 22 tahun sebagai perdana menteri mempunyai pelbagai catatan hitam tetapi dalam keadaan dia bersedia untuk menumbangkan Najib dan Umno-BN sepatutnya ada langkah diplomasi yang diambil Pas. Malangnya, Pas mengambil pendekatan keras-tegas kepada sesiapa sahaja yang bersama pembangkang, tetapi terus bersikap lunak dan tidak agresif terhadap regim kleptokrat Najib.

Seolah-olah, berdepan Umno-BN walaupun Pas tetap mengisytiharkan penentangan namun dalam nada dan keupayaan yang cukup terbatas, tetapi jika berbicara soal kerjasama pembangkang yang lain, tiada ruang untuk bertolak-ansur. Ciri-ciri normal sebuah parti pembangkang, apatah lagi mengenangkan Pas sebagai oposisi paling berpengalaman dan berpengaruh, seakan-akan sudah hilang. Strategi, pendekatan dan penampilannya terserlah umpama parti rakan atau mesra Umno-BN.

Langkah berisiko tinggi

Benar, dibandingkan Amanah, pastinya Pas lebih besar, mempunyai sokongan akar umbi dan luas wilayah pengaruhnya, seperti juga Umno yang lebih kuat berbanding Bersatu. Amanah buat masa ini mungkin tidak dapat mengisi sepenuhnya kekosongan yang ditinggalkan Pas dalam gabungan pembangkang. Tetapi mengharapkan Pas kembali bersama mainstream oposisi merupakan agan-angan yang tidak berjejak kepada alam realiti. Serentak masa sama, juga menafikan peluang dan potensi rakan sekutu.

Terus mengharapkan Pas dengan memperkecilkan rakan sebenar, contohnya Amanah, adalah langkah yang cukup berisiko tinggi. Apatah lagi Pas berulang kali menegaskan potensinya sebagai king maker atau penentu kerajaan baru selepas PRU14 nanti. Pas boleh sahaja bersama Umno-BN selepas keputusan PRU14 jika tawaran inkumben lebih menarik. Kita sedia maklum kelicikan pemimpin Umno memperdayakan Pas, khususnya berkaitan imej dan simbol Islam seperti berlaku dalam kes RUU 355.

Sukar membayangkan — dengan sikap tidak berkompromi Pas sekarang — untuknya bersama Pakatan Harapan membentuk kerajaan persekutuan yang baru nanti. Maka sudah pasti haluan dan objektif Pas boleh dibayangkan jika ia memperolehi kerusi Parlimen dalam bilangan yang membolehkannya menjadi king maker nanti. Apakah Azmin dan kumpulannya sanggup mengambil risiko itu.

Tambah merumitkan bentuk kerjasama dengan Pas, seperti diimpikan Azmin, adalah agihan kerusi terutama membabitkan kawasan yang perlu diperuntukkan kepada Bersatu dan Amanah. Pas bertegas tidak mahu melepaskan kerusinya kepada kedua-dua parti itu. Dan banyak lagi komplikasi yang bakal timbul; akhirnya akan merumitkan lagi persiapan pembangkang menghadapi PRU`14.

Selamatkan tanah air

Sebenarnya Pas sudah memilih jalan sendiri menurut pertimbangan strategis barunya sejak dua tiga tahun lalu. Mereka ada argumen dan hujah yang diyakini. Percubaan dan minat yang ditunjukkan banyak pihak untuk mendekati Pas juga dilihat bahawa parti itu memang semakin kuat dan diperlukan oleh semua pakatan, baik BN mahupun Pakatan Harapan. Formula mudah, biarkan Pas dengan keputusannya, ia pula tidak pernah menunjukkan kesungguhan untuk bersama gabungan pembangkang lain,

Memang seronok membayangkan kita masuk PRU14 tanpa masalah di kalangan pembangkang dan Umno terbelah dua. Seperti dibayangkan kaji selidik IDE, lapan negeri bakal dikuasai pembangkang. Tetapi ia tidak semudah itu. Najib berdepan konflik dalaman Umno yang cukup serius dan pembangkang juga dikepung masalah yang meungkinkan pertandingan tiga penjuru. Krisis seperti itu mencabar keupayaan semua pihak, BN mahupun Pakatan Harapan. Benar resolusi Majlis Presiden Pakatan Harapan baru-baru ini, malah sebenarnya perlu lebih awal lagi untuk merangka strategi politik untuk pertembungan tiga penjuru!

Dunia belum kiamat. Rakyat belum memutuskan undi mereka. Pertarungan belum berakhir. Layar pentas belum dilabuhkan. Manfaatkanlah segenap potensi, ruang, peluang dan aset agar sejarah baru Malaysia tercipta. Tanah air tercinta ini perlu diselamatkan segera demi masa depan anak cucu kita.

loadposition myposition}

CATEGORIES
TAGS