Bimbang TPPA ancam usahawan tempatan, kata Pemuda Pakatan Harapan

Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di negara ini dibimbangi terdedah kepada manipulasi syarikat korporat asing dari negara-negara ahli Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang boleh secara bebas menembusi pasaran tempatan, tegas kumpulan Pemuda Pakatan Harapan.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Demontrasi  Pemuda Pakatan Harapan menentang TPPA yang diadakan baru-baru ini.Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di negara ini dibimbangi terdedah kepada manipulasi syarikat korporat asing dari negara-negara ahli Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) yang boleh secara bebas menembusi pasaran tempatan, tegas kumpulan Pemuda Pakatan Harapan.

Mereka yang diketuai Naib Ketua Pemuda, Parti Amanah Negara (Amanah) Nasional,  Wan Anwar Wan Ibrahim menyifatkan situasi tersebut sekaligus akan menjejaskan tujuan Bajet 2016 yang antara lain berhasrat meningkatkan kadar sumbangan PKS kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 41 peratus.

“Kesediaan pemain domestik kita mungkin masih jauh di bawah ‘par’. Ini memandangkan hanya kira-kira 19 peratus atau 123,000 PKS di negara ini terlibat dalam eksport manakala 81 peratus terlibat dalam pasaran tempatan sahaja.

“Mereka mungkin tidak bersedia untuk bersaing di peringkat antarabangsa dari segi kualiti produk, perkhidmatan, pembungkusan, dan standard. Akhirnya, banyak PKS akan gulung tikar tanpa bantuan mencukupi daripada kerajaan,” ujar kenyataan tersebut hari ini.

Sehubungan itu, Pemuda Pakatan Harapan menganggap situasi kehilangan pekerjaan dalam sektor PKR yang terjejas akan membawa kesan buruk kepada ekonomi Malaysia secara keseluruhan ketika nilai ringgit menyusut teruk.

“Dari segi produktiviti pula, Malaysia diletakkan dengan nisbah 4:1 dan 7:1 berbanding masing-masing Singapura dan Amerika Syarikat (AS).

“Ini bermakna seorang warga Singapura boleh melakukan tugas empat rakyat Malaysia manakala seorang rakyat AS boleh melakukan tugas tujuh penduduk tempatan,” dipetik dari kenyataan berkenaan.

Mengulas tentang ketiadaan maklumat tentang mekanisme penyelarasan anggaran kos untuk syarikat perniagaan ekoran TPPA, kumpulan golongan muda dari Amanah, PKR dan DAP itu khuatir peningkatan harga barangan bagi kegunaan domestik dan perniagaan tempatan akan beralih kepada pelanggan.

“Peningkatan semasa kos sara hidup telah memberi kesan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana dan mereka semakin bimbang dengan kenaikan kos selanjutnya.

“Kami menggesa kerajaan untuk melihat perkara-perkara ini dan memastikan bahawa mekanisme yang berkesan telah tersedia supaya tidak mengorbankan yang lain, terutama rakyat,” kata mereka.

TPPA meningkatkan kos hidup

Selain kemungkinan TPPA tidak dapat untuk mengurangkan sebarang kenaikan harga barangan, Pemuda Harapan Rakyat turut menyebut implikasi pemberhentian barangan import yang menawarkan harga lebih rendah.

“Peraturan asal (ROO) TPPA juga boleh memaksa pengeluar untuk menghentikan pengimportan barangan yang lebih murah dari negara seperti China, India dan sumber dari negara-negara TPPA dengan harga lebih tinggi. Ini akan terus menaikkan harga barangan dan membebankan rakyat,” ujar kenyataan bersama tersebut.

Sehubungan itu, Pemuda Harapan Rakyat menggesa supaya perbincangan berterusan dan perbahasan awam secara terbuka dilaksanakan bagi memberi pemahaman kepada seluruh masyarakat sebelum TPPA dimeterai.

“Masih terdapat banyak isu yang perlu dibincangkan sebelum rakyat benar-benar boleh membuat keputusan sama ada TPPA baik atau buruk kepada negara ini,” ujar mereka lagi.

Dalam hal berkaitan, Laporan Analisis Kepentingan Nasional TPPA yang dijalankan firma antarabangsa, PricewaterhouseCoopers (PwC) mendapati perniagaan bumiputera dan PKR berisiko untuk menerima kesan negatif.

Menurut kajian firma tersebut, jangkaan itu memandangkan kebanyakan bumpitera menjalankan perniagaan secara domestik dan bergantung kepada kontrak kerajaan serta program vendor.

Dokumen TPPA yang membabitkan 30 bab itu mencetuskan kebimbangan banyak pihak apabila kerajaan dilihat hanya mengeluarkan jaminan-jaminan umum kononnya tidak menjejaskan kepentingan rakyat dan kedaulatan negara.

Rundingan yang berjalan sejak 2010 membabitkan 12 negara iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, AS dan Vietnam, bagaimanapun telah dimuktamadkan pada 5 Oktober lalu di Atlanta, AS.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed sebelum ini dilaporkan berkata, Malaysia tidak boleh lewat daripada dua minggu pertama tahun 2016 untuk membuat keputusan sama ada memeterai TPPA atau tidak.

TAGS