Blok politik ketiga: Pas cuba rampas kerusi majoriti Melayu, kata Ibrahim

Blok politik ketiga: Pas cuba rampas kerusi majoriti Melayu, kata Ibrahim

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Presiden Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali membayangkan menerusi  blok politik ketiga Pas akan cuba merampas kerusi majoriti Melayu sebanyak mungkin dalam Pilihanraya Umum ke 14 kelak.

Ibrahim yang pernah bertanding di atas tiket BN, Pas dan juga Bebas bagi kerusi Parlimen Pasir Mas berkata, beliau melihat parti Islam itu banyak belajar dari pengalaman dan sehingga kini prinsip dan matlamat PAS adalah jelas.

“Pas banyak belajar, mereka sangat bijak. Saya pernah ‘provoke’ Pas untuk lihat sikap sebenarnya. Pas ada strategi dengan matlamat yang jelas, cuba nak dapatkan kerusi sebanyak mungkin kerana pada ketika itu Umno bukan lagi pilihan rakyat.

“Jangan perkecilan Pas. Sekarang Pas hilang kerusi kerana pemimpin mereka pergi ke Parti Amanah Negara (Amanah), mereka sedang nak dapatkan semula kerusi mereka.

“Bila lihat isu yang sedang berlaku sekarang ini, jangan teruja tapi lihat ke depan,” katanya dipetik dalam wawancara portal Malaysiakini hari ini.

Ibrahim berkata demikian ketika diminta mengulas parti itu mengumumkan tidak akan bersama dalam gerakan Deklarasi Rakyat kerana mempunyai pendekatan tersendiri khususnya melalui ‘blok politik ketiga’ ke arah mengubah kepimpinan negara melalui “saluran yang demokrasi dan berperlembagaan”.

Malah Rabu lalu, Abdul Hadi berpendapat, tindakan Mahathir dan kumpulan ‘Selamatkan Malaysia’ bagi menyingkirkan Najib adalah usaha sia-sia.

Abdul Hadi dilaporkan berkata bahawa untuk menjatuhkan seseorang perdana menteri, proses demokrasi diperlukan iaitu melalui pilihan raya atau usul undi tidak percaya.

Menurut presiden Pas itu, usul undi tidak percaya dilihat tidak akan berlaku memandangkan ia memerlukan majoriti daripada ahli parlimen daripada Umno dan BN.

Ogos tahun lalu, Pas kehilangan sepuluh wakil rakyat serentak selepas lima ahli Parlimen dan lima Adun parti itu menyertai Amanah.

Amanah kini menyertai Pakatan Harapan bersama DAP dan PKR.

Pas bagaimanapun akan mengumumkan pembentukan blok pembangkang baru yang akan melibatkan sebuah parti pelbagai kaum dan NGO pada 16 Mac ini.

Setiausaha agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata ‘blok politik ketiga’ diharapkan setanding dengan Pakatan Harapan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

 

TAGS