Bocor maklumat 1MDB: Mahkamah arah Rafizi bela diri

Bocor maklumat 1MDB: Mahkamah arah Rafizi bela diri

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli diarahkan membela diri oleh Mahkamah Sesyen hari ini, atas tuduhan membocorkan maklumat sulit berhubung laporan audit 1MDB.

Hakim Zulqarnian Hassan berkata pihak pendakwa berjaya membuktikan dakwaan di bawah Seksyen 8(1)(c) dan 8(1)(e)(iii) Akta Rahsia Rasmi (OSA) atas kesalahan memiliki dan membocorkan laporan 1MDB.

“Bukti saksi mengesahkan dokumen sememangnya halaman 98 daripada laporan akhir 1MDB dan beliau (Rafizi) mendedahkannya pada sebuah sidang media,” katanya.

Mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan pada 27 September dan 6-7 Oktober.

Peguam Rafizi, Gobind Singh Deo berkata pemimpin PKR itu akan memberi keterangan daripada kandang saksi.

Sebelum ini, Ketua Audit Negara Tan Sri Amrin Buang merupakan antara saksi pendakwaan.

Katanya, laporan audit 1MDB itu diklasifikasikan rahsia selepas kebocoran terhadap laporan interim 1MDB yang dihantar kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada Julai tahun lepas.

Pada 5 April, Rafizi, yang juga naib presiden dan setiausaha agung PKR, ditangkap di bangunan Parlimen, sebelum didakwa 3 hari kemudian memiliki tanpa kebenaran muka surat 98 daripada laporan audit 1MDB.

Sekiranya sabit kesalahan beliau berdepan hukuman penjara sehingga 7 tahun.

TAGS