Boikot kerana rakyat atau prejudis?

Boikot kerana rakyat atau prejudis?

Mutakhir ini politik dalam negara sedikit hangat dengan seruan dari gerakan yang mahu menjalankan kempen #BoikotPRU atau #UndiRosak sebagai pilihan kepada pengundi yang tidak mampu menerima kepimpinan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH). Bagi mereka itu adalah sebahagian daripada amalan negara demokrasi.

Ianya adalah susulan tindakan PH yang telah menamakan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri jika PH berjaya melangkah masuk ke gerbang masuk Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 kelak. Ianya adalah sebuah keputusan konsensus yang telah dicapai oleh majoriti pimpinan tertinggi PH yang terdiri daripada seluruh parti komponen koalisi alternatif untuk menggantikan BN sebagai “kerajaan yang memimpin”.

Ini adalah waktu terbaik bagi PH untuk menumbangkan rejim BN yang sekian lama mencengkam lara buat rakyat terbanyak di negara ini. Pelbagai gerakan yang dijalankan dalam memastikan tampuk pemerintahan negara itu berubah. Kempen daftar pemilih digiatkan walau pelbagai cara yang datang bagi menghalang ianya berlaku. Penerangan tentang peri pentingnya rakyat memilih juga tidak pernah sunyi dari mulut seluruh pimpinan PH, aktivis dan NGO yang mengangkat rakyat sebagai asas perjuangan.

Boikot pilihan raya bukanlah sesuatu yang asing sebenarnya. Ia pernah dan selalu berlaku di dalam kerangka pilihan raya di sesetengah negara. Malah disana telah disediakan ruangan untuk memilih “undi tiada dalam senarai”. Begitulah sistem pilihan raya di negara besar berlangsung hingga kepada suatu tahap pihak yang menjalankan kempen seperti itu akan dipanggil oleh pihak berkuasa untuk disiasat bagi mendapatkan penjelasan mengapa tindakan boikot diambil.

Itulah yang berlaku pada ketua pembangkang di Rusia. Alexei Navalny mendakwa bahawa berlaku konspirasi politik untuk menghalangnya daripada menjadi calon Presiden Rusia. Navalny yang juga seorang peguam percaya bahawa jutaan pengundi tidak akan keluar membuang undi di atas hujah beliau tidak menjadi antara salah seorang calon untuk bersaing bersama Vladimir Putin.

Ini memberi gambaran bagaimana ketelusan sistem yang diamalkan oleh pengurusan pilihan raya di Rusia hingga menyiasat ketua oposisi yang mahu memboikot pilihan raya negara tersebut. Walhal dari sifir mudahnya boikot tersebut akan memperkukuhkan lagi legasi pemerintahan Putin di Rusia.

Bayangkan jika ianya berlaku dalam negara kita. Maka telah lama kerajaan yang memeritah itu sudah silih berganti tempatnya. Kempen yang dijalankan oleh pihak Bersih 2.0 membuktikan wujud gejala tatakelola yang tempang hingga BN itu kekal berkuasa selama 60 tahun. Penulis percaya jika boikot yang berlaku di Rusia diaplikasikan dalam konteks pilihan raya dinegara ini, BN akan mendapat laba daripadanya.

pengalaman Thailand

Lihat apa pula yang berlaku pada pilihan raya Thailand pada 2014. Kadar mereka yang keluar mengundi hanya sekitar 65.2 peratus. Kempen boikot yang dijalankan oleh oposisi yang dipimpin oleh Parti Demokrat mahu agar sistem pilihan raya di negara gajah putih itu melalui fasa reform agar perjalanan pengundian berfungsi dengan bebas yang memberi keputusan yang lebih telus.

Sebagai tambahan, Parti Demokrat juga bertanggungjawab dalam mengetuai kempen boikot pada pilihan raya umum tahun 2006 di Thailand. Bagi mereka untuk mengumpulkan lebih daripada 100,000 rakyat bagi mengadakan himpunan bukanlah sesuatu yang sukar. Natijahnya 2006 menyaksikan abang kepada Yingluck, Thaksin dijatuhkan melalui kuasa rakyat Thailand itu sendiri. Selain dari Parti Demokrat(Phak Prachatipat), Parti Bangsa Thai(Phak Chart Thai) dan Parti Rakyat(Phak Mahachon) turut terlibat dengan kempen boikot tersebut.

Melalui perjalanan pilihan raya di Thailand menunjukkan kepada kita kempen boikot yang dibuat adalah menifestasi kepada sistem pilihan raya yang tidak telus dan bersih. Kewujudan badan pendesak seperti Jawatankuasa Reformasi Demokratik Rakyat sebagai kuasa penekan kepada badan perlaksana pilihan raya di Thailand. Menyoroti semuanya yang berlaku pada 2006 dan 2014 di Thailand membuktikan boikot berlangsung kerana sistem dan bukan individu.

Di Rusia mereka tidak bicara soal Putin tetapi ketelusan pilihan raya dan begitu juga jika dilihat dalam proses demokrasi yang berlaku di Thailand. Pihak yang pernah menjadi kerajaan pernah juga merasai posisi sebagai pembangkang dalam negara. Maknanya rakyat mempunyai penilaian kepada kesesuaian parti mana yang lebih layak untuk dipilih mengetuai kerajaan. Maka amatlah adil bagi rakyat untuk berkira-kira memberi pengajaran dalam erti kata lain memboikot kepada mana-mana pihak kerana mereka telah diberi peluang mentadbir dan membangkang.

faktor Tun Mahathir

Malaysia juga melalui fasa betapa undi itu sangat berharga atas kesedaran yang diterima melalui penerangan oleh semua pihak. Cuma penulis melihat gerakan boikot yang mahu dilakukan di Malaysia adalah sesuatu yang baru. Baru dalam pengertian apakah sebenarnya tujuan mengapa kempen ini perlu dilaksanakan dalam negara. Meniliti hujah mereka yang mengambil contoh boikot di negara France, India, Mexico hatta Afrika Selatan amatlah tidak cocok dengan maksud kempen mereka dalam menuju ke PRU ke-14 yang parlimennya boleh dibubarkan bila-bila masa dari sekarang.

Boikot yang mahu digerakkan seharusnya tidak diberi jolokan BoikotPRU atau UndiRosak kerana gambarannya jelas mereka bukan memboikot PRU kelak secara total. Maksud mereka adalah tidak memberi undi kepada BN dan PH yang paling utama. Respon ini berlaku kerana PH mencalonkan Tun Dr. Mahathir sebagai calon Perdana Menteri seperti yang dicatatkan diawal tulisan. Bagi mereka tiada beza menurunkan kleptokrasi bernama Najib Razak dan kemudiannya menaikkan seorang yang pernah menjadi mentor kepada sang kleptokrat.

Prejudis skala tinggi atau mungkin saki baki dendam politik lama yang tidak lunas menyebabkan mereka menganggap PH akan memakai baju kezaliman BN untuk memerintah. Disinilah paksi yang perlu diwacanakan oleh kita semua. Dominan UMNO didalam BN bukan tamsilan tepat memutuskan corak pemerintahan PH seandainya berjaya memasuki Putrajaya.

Kita bicara soal keadilan dan sewaktu dengannya, tapi kita membuat penilaian kepada sesuatu yang belum terbukti keupayaan mereka. 61 tahun Malaysia merdeka dan selama itulah pemerintahan ini tidak pernah silih berganti. Mana mungkin kita mahu memboikot koalisi yang selama ini bergelar pembangkang. Jika diambil semangat kempen boikot seperti yang penulis kongsikan yang cuma sebahagian bilangannya, kita tersasar kerana gerakan boikot kita adalah tertumpu kepada individu. Memberi pengajaran kepada PH hanya kerana mencalonkan Tun Mahathir adalah jalan memberi BN atau Najib Razak dan isteri tercinta kemenangan yang diidamkan.

Konklusinya benar kita punya hak untuk melakukan apa saja. Tetapi sangat tidak adil untuk kita mempengaruhi pemilih untuk turut sama beremosi bersama cerita lara lama kita. Ini adalah masa dan ketika rakyat sama-sama bangkit menolak kepincangan yang dilakukan oleh BN terutama selepas kemenangan pasca PRU ke-13. Terpulang sama ada pembaca sekalian mahu bersetuju atau sebaliknya.

Startergi kerajaan meluapkan rasa bosan rakyat adalah suatu pilihan untuk mereka terus mengekalkan kemenangan. Ini memberi gambaran rakyat perlu berhadapan dengan kerajaan BN untuk 5 tahun yang akan datang. Untungkah kita?

Ya, untung kerana kita sebenarnya memboikot bukan kepada sistem, tetapi memboikot kerana di sana ada namanya Mahathir.
________________________________
Muhammad Syafiq Azmi ialah Ketua Pemuda AMANAH Melaka.

CATEGORIES