Boleh guna duit tabung kalau selama ini menyimpan, kata ahli akademik

Boleh guna duit tabung kalau selama ini menyimpan, kata ahli akademik

Negara tidak dibebani masalah kewangan kritikal jika kerajaan sebelum ini mengamalkan pengurusan kewangan berhemah, kata Ketua Biro Penyelidikan IKRAM, Prof Dr Mohd Nazari Ismail.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Prof Dr Mohd Nazari Ismail Negara tidak dibebani masalah kewangan kritikal jika kerajaan sebelum ini mengamalkan pengurusan kewangan berhemah, kata Ketua Biro Penyelidikan IKRAM, Prof Dr Mohd Nazari Ismail.

“Kalau selama ini kita simpan duit, sekarang dapat membantu, boleh pakai duit tabung itu. Sekarang ini rakyat tanggung sendiri. Kerajaan tidak ada duit.

“Hutang isi rumah sahaja 90 peratus daripada daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Kalau campur (hutang) 1MDB lebih tinggi sebenarnya,” ujarnya dalam Diskusi Awam bertajuk “Laporan Keadaan Isi Rumah Negara: Di Mana Kita?” di ibu negara malam tadi.

Beliau berkata, masalah ekonomi bukan sahaja wujud di negara ini bahkan merupakan fenomena yang berlaku di seluruh dunia termasuk negara maju.

“Bezanya reputasi pemimpin mereka tidak teruk. Di Amerika pun ada MO tapi Michelle Obama (isteri Presiden). Jepun pula ada GST daripada enam kepada lapan kemudian 10 peratus tapi kerajaan di sana telus,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, langkah meningkatkan pendapatan tidak mampu untuk menyelesaikan isu hutang isi rumah.

“Tidak semudah itu. Di Singapura, pendapatan jauh lebih tinggi daripada kita tetapi tetap mengalami masalah. Krisis di Amerika Syarikat pun boleh berlaku.

“Kos hidup tinggi, harga rumah tinggi. Sebab sistem yang diamalkan buat orang susah dan galakkan orang berhutang,” ujar Prof Dr Nazari.

Pada masa sama, pensyarah di Fakulti Perniagaan dan Perakaunan  Universiti Malaya itu menyeru supaya masyarakat tidak berbelanja melebihi pendapatan kerana krisis ekonomi turut menyaksikan banyak syarikat terjejas sehingga mungkin membuang pekerja.

“Masyarakat sendiri membeli barang tidak perlu termasuk kenderaan mewah. Kos kahwin pula amat tinggi. Pakej kahwin RM100,000 pun ada. Skim berhutang ala Islamik juga penyebab kepada sesetengah pihak yang sebelum ini mengelak untuk berhutang, buat hutang.

“Nilai masyarakat kita suka beli barangan mewah. Ini yang buat kitaran masalah terus berlaku. Sepatutnya jika tidak mampu, jangan buat hutang. Itulah yang kita perlu betulkan dalam masyarakat kita,” ujarnya lagi.

TAGS