Bolehkah Amanah kekal lama?

Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusuff sekali lagi membuat analisis politiknya, kali ini  mengenai  kebolehan Parti Amanah Negara (Amanah) sama ada parti itu boleh menarik sokongan dan mampu kekal lama selepas Pilihanraya Umum ke -14 (PRU14).

 

 

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Penganalisis Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusuff Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia,Prof Datuk Dr Mohammad Agus Yusuff sekali lagi membuat analisis politiknya, kali ini  mengenai  kebolehan Parti Amanah Negara (Amanah) sama ada parti itu boleh menarik sokongan dan mampu kekal lama selepas PRU14.

Mohammad Agus berkata, ramai yang menyifatkan perkara itu tidak boleh berlaku.

“Alasannya sejarah menunjukkan parti yang lahir sebagai serpihan PAS seperti Berjasa dan Hamim tidak kekal lama.

“Sejarah dari serpihan parti UMNO juga begitu. Pada tahun 1950-an, Independence Malayan Party (IMP) dan Parti Negara dipimpin Datuk Onn Jaaafar berkubur dan pada tahun 1996 pula Semangat 46 turut berkubur.” katanya.

Atas hujah di atas, ramai yang pesimis tentang keupayaan Amanah untuk bertahan lama.Sebaliknya beliau berpendapat tidaklah semudah itu untuk Amanah berkubur. Mengapa?

“Amanah ditubuhkan bukan atas alasan kecewa dalam pemilihan parti, tetapi tidak bersetuju dengan dasar dan arah tuju pucuk pimpinan parti.

“Amanah dipimpin oleh pemimpin yang tahan uji dan komited dalam perjuangan untuk mewujudkan Malaysia yang progresif.

“Amanah mendapat sokongan anak muda dan kelas pertengahan yang kecewa dengan perjuangan Umno dan Pas. Mereka teruja dengan sistem dua parti dan mahu melihat adanya sistem semak dan imbang dalam politik Malaysia.

” Semua parti saingan Amanah sedang menghadapi masalah krisis kepimpinan dan keyakinan membolehkan Amanah memberikan persaingan yang kompetitif dalam politik negara, biarpun Amanah masih baru.

“Amanah memperjuangkan isu yang dekat di hati rakyat—keadilan sosial, hubungan kaum yang harmoni, kemiskinan dan lainnya.

“Amanah masih membawa konsep Islam sepertimana PAS, tetapi dengan wajah yang sederhana dan lebih inklusif,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mempunyai hujah sendiri Amanah boleh kekal lama dalam politik negara. Tetapi Amanah perlu mengambil kira beberapa kaveat untuk mencapai kelangsungan parti itu.

1.Pemimpin Amanah perlu lebih jelas dari segi hala tuju perjuangannya. Apakah Amanah sebagai alternatif kepada Pas, atau Amanah ada ‘produk baru’ yang ditawarkannya untuk rakyat?

2. Amanah tidak boleh berdiri sendiri. Amanah perlu bergabung dengan parti-parti pembangkang yang lain sama ada itu dalam Pakatan Harapan atau lainnya.

Di akhir analisisnya, Mohammad Agus berkata kedudukan Amanah seterusnya dalam politik negara adalah bergantung kepada pencapaian Amanah dalam PRU-14 kelak.

“Sekiranya Amanah gagal membawa impak dalam PRU-14 nanti, maka jalan ke arah Amanah terkubur itu jelas.

“Justeru, ke depannya Amanah memerlukan tindakan strategik yang penuh taktikal untuk mendapat sokongan rakyat dan kekal lama dalam politik negara.” terangnya.

TAGS