Buat pusingan-U untuk pastikan BN kalah, kata AMK Kelantan

Buat pusingan-U untuk pastikan BN kalah, kata AMK Kelantan

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelantan menyifatkan usaha PKR untuk membuka pintu rundingan dengan Pas adalah untuk membela rakyat dan menumbangkan kleptokrasi Najib BN.

“Kami menyeru pemimpin-pemimpin tertinggi Pakatan Harapan (PH) dan Pas meredakan tohmahan sesama sendiri berhubung langkah ini,” kata ketuanya, Mohd. Hafidz Rizal dalam satu kenyataan yang ditularkan di media sosial malam tadi.

Beliau menegaskan langkah itu selaras dengan usaha ‘memperkasakan’ Pakatan Harapan (PH) sekaligus merealisasikan agenda reformasi yang dicetuskan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Ketua Umum PH dalam fokus menumbangkan Umno dan BN.

AMK Kelantan katanya menghormati dan akur dengan arahan yang disampaikan oleh pengerusi MPN Ab. Aziz Kadir dari presiden dan Biro Politik PKR pusat yang bersidang pada 15 Ogos lalu yang mengarahkan semua lantikan politik Kelantan kekal bagi melaksanakan tugas dalam semata-mata untuk berbakti kepada rakyat.

“Ini sekaligus menafikan dakwaan hanya menerima elaun atau kata-kata popular sekarang ‘dedak’,” katanya.

Beliau membangkitkan semula sejarah selama 18 tahun berlakunya pertembungan politik yang hebat dan tajam antara Tun Dr. Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

{loadposition myposition}

“Sehingga meringkuknya Anwar Ibrahim di Sungai Buluh selama 8 tahun dan hari ini kita semua dapat melihat rapatnya dua negarawan ini mengenepikan sengketa lama.

“Kini mereka sanggup bersatu padu di dalam PH untuk menumbangkan Najib, kleptokrasi Umno BN,” katanya

Dengan merujuk kajian Institut Darul Ehsan (IDE), sebuah badan penyelidikan dibiayai kerajaan Selangor, menurut Hafidz BN akan menang apabila berlaku pertembungan tiga penjuru pada PRU akan datang.

“Akhirnya bertambahlah kesengsaraan rakyat Malaysia dibawah Kleptokrasi Najib.

“Inilah asas kami dari PKR cuba membuka rundingan bersama Parti Pas untuk memertabatkan Islam dan Melayu di negeri-negeri pantai timur bagi merealisasikan pertembungan 1 lawan 1, akhirnya kemenangan berpihak kepada barisan pembangkang iaitu Pakatan Harapan dan Pas,” katanya.

Hafidz bagaimanapun tidak mengulas hasrat Pas untuk menjadi ‘king maker’ iaitu kemungkinan membentuk kerajaan sama ada dengan PH ataupun BN selepas PRU akan datang.

TAGS