Bukan bumiputra boleh jadi ahli bersekutu Bersatu, kata Muhyidin

Bukan bumiputra boleh jadi ahli bersekutu Bersatu, kata Muhyidin

Bangsa lain yang bukan bumiputera boleh menjadi ahli bersekutu dalam parti baru yang didaftar oleh Tan Sri Muhyidin Yassin hari ini, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

“Mereka punya hak sama kecuali untuk bertanding mana-mana jawatankuasa. Namun boleh dilantik untuk menganggotai mana-mana jawatan,” katanya.

Bekas timbalan perdana menteri berkata demikian kepada pemberita selepas mengemukakan permohonan untuk mendaftarkan parti itu kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) di Putrajaya.

Selain Muhyiddin yang bakal menjadi presiden parti, Tun Dr Mahathir Mohamad akan menjadi pengerusinya.

Keahlian parti ini terbuka kepada semua yang berstatus pribumi, Melayu dan bumiputera termasuk orang asli di Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu, sehingga kini sudah dua tokoh yang dikaitkan dengan gerakan Deklarasi Rakyat pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad menolak untuk menyertai parti ini.

Datuk Zaid Ibrahim berkata, orang Melayu adalah liberal progressif, berhemah pintar, tinggi moral dan yakin.

Oleh itu, katanya, tidak ada keperluan untuk mencontohi Umno dalam mengingatkan mereka mengenai keperluan untuk membela hak atau bersatu.

“Apa yang perlu diingatkan kepada mereka ialah dunia (ini) luas.

“Bukan orang Melayu memerlukan Umno, tetapi Umno yang memerlukan Melayu. Samalah parti baru,” katanya dalam satu posting di twitter petang ini.

Sebelum ini Datuk Seri Khairudin Abu Hasan juga menolak menyertai parti ini.

“Sebelum Muhyiddin bercakap tentang isu 1MDB, saya secara bersendirian telah mengambil langkah proaktif memerangi skandal tersebut bersama dengan beberapa pemimpin pembangkang.

“Sekiranya kita ikhlas untuk berjuang, tanpa sebarang jawatan politik pun kita boleh berjuang,” katanya dalam kenyataan sebelum ini.

TAGS