Bukan nak buka ladang sangat tapi nak balak, kata NGO alam sekitar

Bukan nak buka ladang sangat tapi nak balak, kata NGO alam sekitar

Kerajaan-kerajaan negeri cuba menggantikan hutan semula jadi yang juga merupakan tempat masyarakat Orang Asli mencari sumber rezeki dengan ladang-ladang kelapa sawit atau getah, tegas Presiden Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa), Hafizzuddin Nasarudin.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kerajaan-kerajaan negeri cuba menggantikan hutan semula jadi yang juga merupakan tempat masyarakat Orang Asli mencari sumber rezeki dengan ladang-ladang kelapa sawit atau getah, tegas Presiden Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa), Hafizzuddin Nasarudin.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, matlamat sebenar kerajaan-kerajaan negeri bukannya membuka ladang bagi komoditi berkenaan tetapi lebih kepada mahu membawa keluar balak bahkan jika ada mineral berharga.

“Sebenarnya bukan nak buka ladang sangat. Mereka nak balak itu dan kalau tanah berkenaan ada emas dikautnya emas. Itu realiti di Malaysia. Hal itu masih dihalalkan undang-undang.

“Kerajaan mengiktiraf ladang kelapa sawit dan getah sebagai hutan. Padahal bagi kita dalam NGO alam sekitar, ladang dan hutan berbeza. Ladang terdiri daripada satu jenis pokok dengan tidak banyak biodiversiti. Hutan pula banyak spesies tumbuhan dan hidupan liar,” ujarnya dalam forum alam sekitar malam tadi di ibu negara.

Sehubungan itu, Hafizzuddin menyifatkan dakwaan kononnya kawasan hutan meliputi 67 peratus keluasan negara ini adalah satu pembohongan besar.

“Negara kita ini hakikatnya permukaan yang betul-betul hutan dan asli hanya tinggal 39 peratus sahaja bukannya 67 peratus. Selebihnya adalah ladang sama ada ladang kelapa sawit atau getah,” tegasnya dalam program anjuran Exco Integrasi dan Kenegaraan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) itu.

Mengulas lanjut tentang penerokaan hutan kononnya bagi memberi laluan kepada projek ladang, beliau mendesak supaya kerajaan-kerajaan negeri memilih kategori ‘tanah miskin’ bagi tujuan tersebut.

“Kalau nak buat pembangunan atau ladang pilih kategori ‘tanah miskin’ seperti tanah lombong, tanah terbiar atau yang ditumbuhi lalang. Kenapa mahu buat ladang dengan musnahkan hutan simpan?

“Hutan simpan ditarah semua diganti dengan satu jenis pokok sama ada pokok kelapa sawit atau getah. Sungai jadi keruh sebab di kawasan hulu sungai, hutan habis kena tebang. Orang Asli nak makan buah sawitkah? Tak logik, kan? Sebab itu mereka membantah (pembalakan),” ujarnya.

Malaysia negara nombor satu dalam dunia paling banyak kehilangan kawasan hutan sejak 20 tahun lalu.

Hijau memudaratkan

Menurut Hafizzuddin, ladang kelapa sawit yang diiktiraf kerajaan sebagai ‘hutan ladang’ itu sebenarnya adalah ancaman terhadap kelestarian alam sekitar tidak terkecuali kepada masyarakat Orang Asli.

“Ladang hutan walaupun nampak hijau tetapi masih memudaratkan alam sekitar. Hidupan liar tidak dapat mencari makan di situ. Sungai keruh sepanjang masa apabila hutan dara tukar kepada ladang.  

“Hutan dara lebih bagus memerangkap haba sekaligus menggalakkan proses fotosintesis kerana daunnya lebih lebar. Ladang kelapa sawit sebenarnya salah satu punca pemanasan global kerana pokoknya yang berdaun tirus mengalami kadar proses fotosintesis lebih rendah berbanding hutan semulajadi,” ujarnya.

Dalam forum yang juga menyaksikan peguam Siti Kasim sebagai ahli panel, beliau turut mendedahkan tiadanya penguatkuasaan terhadap pembalakan yang diluluskan kerajaan negeri sehingga aktiviti tersebut dilakukan betul-betul di sebelah sungai.

“Malaysia negara nombor satu dalam dunia paling banyak kehilangan kawasan hutan sejak 20 tahun lalu. Ini disahkan satu badan penyelidikan hutan tropika di seluruh dunia,” tambahnya lagi.

TAGS