Bukan Pas yang keliru tetapi parti pembangkang lain, kata MP Pas

Bukan Pas yang keliru tetapi parti pembangkang lain, kata MP Pas

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pas tidak keliru sebagaimana yang didakwa oleh Tun Dr Mahathir Mohamad tetapi yang keliru adalah parti-parti pembangkang khasnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, PKR dan Amanah juga terus keliru apabila mengharapkan Pas menyertai mereka.

“Parti-parti pembangkang ini yang terus keliru dengan apa yang dikehendaki oleh Pas.

“Mereka tak faham-faham apa yang Pas nak, bukan Pas yang keliru,” kata ahli Parlimen Pas itu.

Bekas Ketua Penerangan Pas itu memberikan perumpamaan orang datang meminang seorang anak gadis.

“Macam orang datang meminang anak saya, saya tak setuju. Saya nak tolak begitu saja nampak kasar. Lalu saya bagi macam-macam syaratlah,” kata Mahfuz.

Mahfuz merujuk pelbagai syarat yang diberikan oleh pimpinan Pas jika mahu bekerjasama dengan mereka.

Antaranya PPBM mesti memutuskan kerjasama dengan Amanah dan DAP jika mahu bekerjasama dengan mereka.

Begitu juga kenyataan Mursyidul Am Pas yang berkata Pas sedia kerjasama dengan semua pihak dengan syarat Pas yang memimpin.

“Ini semua syarat nak tolak. Jadi saya boleh katakan Pas tak keliru dengan apa yang dia mahu.

“Yang keliru adalah pemimpin pembangkang,” kata Mahfuz kepada Malaysia Dateline.

Sehubungan itu, Mahfuz mencadangkan pemimpin pembangkang lupakan Pas dalam usaha mereka menghadapi pilihan umum akan datang.

“Lupakanlah Pas. Rancanglah strategi dari sekarang untuk menang tanpa melibatkan Pas,” katanya.

Pada Sabtu Tun Dr Mahathir berkata Pas masih keliru dalam hubungannya dengan parti-parti politik pembangkang di negara ini.

TAGS