Bukan sekadar kurang belanja sambutan, PM digesa kecilkan saiz kabinet

Bukan sekadar kurang belanja sambutan, PM digesa kecilkan saiz kabinet

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

DAP menyambut baik saranan Perdana Menteri yang mahukan perbelanjaan untuk majlis sambutan lawatan kerja dan rasmi beliau serta menteri Kabinet dikurangkan selaras dengan langkah berjimat cermat kerajaan.

Bagaimanapun Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Omar Ali menyifatkan saranan itu sebagai gimik tidak serius dan sekadar mempermainkan rakyat.

“Keadaan ekonomi Malaysia berada pada tahap yang amat kritikal. Jika ingin dibandingkan nilai matawang RM berbanding negara jiran kita Singapura sahaja pun, hari ini telah mencecah lebih SGD0.3.

“Alangkah baiknya jika beliau membuat seruan ini sejak awal dahulu lagi. Najib tidak seharusnya bertindak sewaktu nasi sudah menjadi bubur,” ujar Sheikh Omar.

Menurut beliau, gesaan Datuk Seri Najib Razak agar persiapan menyambut perdana menteri dan menteri kabinet seperti karpet merah, hidangan istimewa dan sebagainya dikaji semula membuktikan selama ini beliau gagal merasai nasib rakyat yang bergelut dengan kos sara hidup yang cukup menekan.

“Selain itu, Najib juga harus sedar. Skandal yang sarat berlaku hari ini seperti 1MDB, dana RM2.6b ke akaun peribadi, defisit Tabung Haji dan banyak lagi adalah berpunca dari tiris serta tidak amanah dalam urustadbir kerajaan di bawah pimpinan beliau sendiri.

“Rakyat juga masih tidak lupa akan isu pemborosan seperti penggunaan jet peribadi secara tidak masuk akal, bil utiliti di Seri Perdana yang melampau-lampau dan banyak lagi.

“Ia tidak sama sekali menunjukkan keikhlasan serta keazaman politik yang sebenar oleh PM terhadap nasib rakyat dan ekonomi negara,” tegas Sheikh Omar.

Beliau turut kesal dengan sikap Najib yang mengabaikan teguran DAP agar mengecilkan kabinet XXXL kerajaan khususnya di Jabatan Perdana Menteri.

Bahkan Najib sebagai Menteri Kawangan telah disenaraikan majalah ekonomi FinanceAsia sebagai antara Menteri Kewangan paling lemah bagi tahun 2016.

“Pada saya, baguslah jika beliau kini telah sedar. Namun, saya suka ingin mengingatkan bahawa bukan soal pemotongan perbelanjaan untuk majlis protokol sambutan lawatan kerja dan rasmi beliau serta Menteri Kabinet sahaja yang perlu dikurangkan, lebih utama ialah isu-isu besar seperti skandal 1MDB, dana RM2.6b, krisis Tabung Haji dan ketirisan serta pemborosan kerajaan dalam menguruskan dana awam perlu dijawab segera untuk meyakinkan rakyat demi menyelamatkan ekonomi nagara,” ujarnya.

TAGS