Bukan tugu, Perdana Menteri perlu diganti baru

Bukan tugu, Perdana Menteri perlu diganti baru

Aktivis mahasiswa membantah pengumuman kerajaan untuk memperindah kawasan Taman Tugu dengan kos keseluruhan projek mencecah RM650 juta seperti diumumkan Perdana Menteri, 5 September lalu.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Aktivis mahasiswa membantah pengumuman kerajaan untuk memperindah kawasan Taman Tugu dengan kos keseluruhan projek mencecah RM650 juta seperti diumumkan Perdana Menteri, 5 September lalu.

“Apa signifikan projek-projek seperti Tugu Negara ini mendapat dana sebegitu besar berbanding dengan mengisi perut rakyat? Projek menaik taraf Tugu Negara adalah satu lagi projek yang dilihat tidak ada kepentingan semasa oleh anak muda dan mahasiswa khususnya.

Najib dan Rosmah semasa melawat cadangan naik taraf taman tugu bernilai RM650 juta.“Kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, yang tidak kukuh dan memerlukan naik taraf itu bukanlah Tugu Negara, tapi kedudukan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri yang perlu diganti baru,” bidas Jurucakap Tangkap Malaysia Official 1 (MO1), Anis Syafiqah Md Yusof dalam kenyataannya hari ini.

Menurutnya, mahasiswa berpendapat Najib sudah kontang idea dalam menguruskan kewangan sehingga negara sedang mengalami krisis ekonomi selain kemelut politik yang dahsyat yang dibimbangi menghakis keyakinan pelabur.

“Tak perlu lagi kita cerita bab ketirisan, kehilangan duit setiap tahun yang dilaporkan oleh Audit Negara. Saya kira itu kita semua sudah maklum. Yang kita tidak maklum dan tertanya-tanya kenapa individu sebegini masih kekal memegang tampuk kepimpinan negara?” bidasnya.

Mengulas lanjut projek yang dibangunkan oleh Khazanah Nasional itu, beliau berpendapat Najib tidak menyedari setiap tahun sebanyak 56 peratus daripada kira-kira 400,000 graduan di negara ini gagal mendapatkan pekerjaan.

“Adakah susah sangat kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib nak menilai kepentingan yang lebih utama? Bagaimana boleh wujud di benak fikiran Perdana Menteri untuk memperuntukkan RM650 Juta kepada sebuah tugu yang masih elok dan kukuh berdiri?

“Kenapa tidak tercapai di akal pimpinan kerajaan sekarang untuk menyelesaikan isu yang berkait rapat dengan rakyat khususnya mahasiswa dan anak muda ini?” soalnya.

Sehubungan itu, Anis mengingatkan Najib yang juga Presiden Umno itu tentang janji untuk menangani kos sara hidup rakyat seperti terkandung pada manifesto BN sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

“Malangnya kebanyakan mekanisme yang diguna bersifat jangka pendek dan tidak mampu menyelesaikan kemelut ekonomi rakyat secara total.

“Sebagai contoh, kenaikan BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) dan baucer buku hanya mampu menyelesaikan masalah mahasiswa dan anak muda selama sebulan dua, kemudian mahasiswa dihadiahkan dengan harga barang naik, cukai GST dan sekarang RM650 juta pula bakal dihadiahkan kepada sebuah monument,” tegas Anis lagi.

TAGS