Calon SPM ke sekolah dengan bot kerana banjir

Calon SPM ke sekolah dengan bot kerana banjir

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Banjir kilat yang kerap melanda Pulau Pinang mutakhir ini diharap dapat diatasi dengan projek rancangan tebatan banjir (RTB) Lembangan Sungai Pinang ekoran peruntukan RM150 juta yang diluluskan kerajaan pusat.

Masalah banjir di bahagian pulau negeri itu baru-baru ini turut melibatkan calon-calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Di Jelutong, Pasukan Bomba dan Penyelamat daripada Balai Bomba Jalan Perak, Isnin lalu, menggunakan bot untuk membawa calon-calon SPM ke pusat peperiksaan.

Pelajar selamat sampai ke sekolah dengan bantuan anggota Bomba dan Penyelamat. Foto Mat Penang

Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri bakal mengemukakan semula pelan reka bentuk, laporan penyiasatan tapak serta melantik jurutera perunding berwajib bagi projek RTB Lembangan Sungai Pinang sesegera mungkin.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri berharap kerja-kerja tebatan banjir yang menelan belanja RM125 juta serta RM25 juta lagi untuk memulihara sungai dapat dilaksanakan pada pertengahan tahun 2017.

“Kita merasakan projek ini amat penting untuk menyelamatkan nyawa dan harta benda daripada insiden banjir.

“Projek ini diharapkan akan mula dilaksanakan pada suku kedua tahun 2017,” ujarnya pada sidang media bersama-sama Ketua Menteri, Lim Guan Eng di Komtar, 8 Nov lalu.

Tambah Kon Yeow, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberitahu kerajaan negeri melalui JPS masih boleh memohon peruntukan tambahan RTB kelak, selepas projek ini siap.

“Beliau (Dr. Wan Junaidi) menyatakan bahawa selepas laksana, jika tidak cukup, maka peruntukan boleh dipohon dalam RMK seterusnya.

“Kita tidak akan putus asa,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Padang Kota.

Walaupun terpaksa menaiki bot, semangat untuk menduduk peperiksaan tetap tinggi. Foto Mat Penang

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa memandangkan peruntukan RM150 juta (Pusat) telahpun turunkan, maka JPS perlulah mengkaji semula skop (projek RTB Lembangan Sungai Pinang) tersebut berdasarkan peruntukan diluluskan oleh Kerajaan Pusat.

Sungai Pinang bermula dari Dobi Ghaut hingga muara Sungai Pinang.

Manakala, lembangan Sungai Pinang terdiri daripada enam anak Sungai dari Bukit Bendera dan Air Itam mengalir ke Sungai Pinang.

Enam anak sungai tersebut adalah Sungai Dondang, Sungai Kechil, Sungai Air Putih, Sungai Air Itam, Sungai Air Terjun dan Sungai Jelutong.

Dalam perkembangan berkaitan, Kerajaan Negeri pada 7 November lalu mengumumkan kelulusan serta-merta RM665,000 peruntukan tujuh projek RTB yang dimohon JPS, sebagai langkah menangani risiko banjir berskala jangka pendek di negeri ini.

TAGS