Mekanisma kuasai bahasa Inggeris tanpa ketepikan bahasa kebangsaan

Mekanisma kuasai bahasa Inggeris tanpa ketepikan bahasa kebangsaan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sedang ‘memujuk’ kerajaan mencari mekanisma terbaik meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah dan universiti, tanpa mengetepikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP Prof Datuk Dr Md Salleh Yaapar berkata selain kajian mendalam bagi mencari mekanisma itu, kerajaan boleh mendapatkan pandangan pakar dalam bidang pendidikan.

“Insya-Allah perlahan-lahan kita akan memujuk juga menteri untuk melihat perkara ini. Kalau mereka dapat penerangan yang jelas dan kalau ada keikhlasan mesti mereka bersetuju.

“Ini kerana kalau dilihat dengan jelas, Akta Pendidikan Kebangsaan 1996 dalam Perkara 17 menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan,” katanya kepada media selepas majlis perasmian Hari Inovasi DBP 2016, di sini hari ini.

Md Salleh berkata demikian ketika diminta mengulas titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang antara lain mahukan satu formula yang bijaksana dicari dalam melahirkan masyarakat dwibahasa bagi membangunkan sumber manusia bersifat global tanpa meminggirkan kedaulatan bahasa kebangsaan.

Sultan Nazrin bertitah demikian pada Majlis “Titah Diraja” anjuran DBP, pada Rabu.

Md Salleh berkata persetujuan untuk memartabatkan bahasa Melayu terkandung dalam ‘7 Wasiat Raja-Raja Melayu’ yang merupakan sebahagian daripada perjanjian yang menjadi landasan kepada penggubalan Perlembagaan Merdeka.

Majlis perasmian Hari Inovasi DBP 2016 disempurnakan Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan.

TAGS