Cawangan Umno Hulu Terengganu tolak Deklarasi Rakyat

Cawangan Umno Hulu Terengganu tolak Deklarasi Rakyat

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Cawangan dan sayap Umno Bahagian Hulu Terengganu mengikrarkan sokongan penuh terhadap kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sebagai perdana menteri dan presiden parti.

Keputusan itu dibuat pada mesyuarat berkelompok cawangan dan sayap Umno  bahagian itu Sabtu malam yang dirasmikan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari selaku Ketua Umno bahagian.

Mesyuarat itu juga membuat ketetapan menolak ‘deklarasi Mahathir” dan akan berdiri teguh di belakang perdana menteri untuk terus mentadbir negara.

Pada 4 Mac lalu, bekas perdana menteri Tun Dr Dr Mahathir Mohamad mengetuai gerakan menandatangani deklarasi menyokong penyingkiran Najib, bersama-sama bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Ketika berucap merasmikan mesyuarat itu, Jailani berkata pemimpin dan anggota Umno perlu membuat serangan balas terhadap dakyah parti pembangkang yang sering kali memutarbelitkan isu berkaitan kerajaan dan parti.

“Jangan biarkan nakhoda kapal (presiden parti) keseorangan kerana beliau dipilih oleh parti. Saya ingatkan pada setiap masa, tidak ada dua nakhoda dalam satu kapal,” katanya.

Beliau berkata anggota dan barisan kepimpinan parti perlu merapatkan saf dengan mengetepikan kepentingan peribadi dan meletakkan rakyat sebagai keutamaan dan hentikan perebutan jawatan.

Di KLUANG, Umno Cawangan Felda Bukit Tongkat 1 turut menyatakan sokongan tidak berbelah-bahagi terhadap Najib.

Ketuanya Musa Yahaya berkata warga Felda terutamanya menyokong penuh kepimpinan perdana menteri dan menggesa kepimpinan lama parti kembali untuk membantu menguatkan serta memartabatkan Umno dan komuniti Melayu.

“Walau apa jua kemelut yang berlaku, kami tetap berdiri di belakang Perdana Menteri kerana kami yakin dengan kepimpinan beliau dalam memacu negara,” katanya kepada pemberita pada Himpunan Solidariti Rakyat di Pusat Internet 1Malaysia, Felda Bukit Tongkat 1, di sini hari ini.

Yahaya berkata beliau yakin di bawah kepimpinan Najib, usaha untuk memartabatkan komuniti Felda akan diteruskan.

Himpunan Solidariti Rakyat itu disertai anggota dan pemimpin tiga cawangan Umno di kawasan Felda itu.

TAGS