Cerita ekonomi Malaysia umpama ‘Alice in Wonderland’

Satu babak daripada filem Alice in Wonderland

Walaupun pelbagai ‘indeks’ dan ‘ukuran’ disajikan kepada rakyat bagi membuktikan kejayaan kerajaan mentadbir negara, persoalan pokok yang perlu dijawab adalah, apakah nasib dan kehidupan rakyat semakin baik atau lebih buruk?

Perkara ini disentuh pengarah strategi AMANAH Dr Dzulkefly Ahmad ketika mengulas keghairahan pentadbiran Najib dalam memaparkan indeks dan angka tunjuk ekonomi bagi membuktikan Malaysia sebuah negara berdaya saing.

Sebagai contoh, katanya ketika indeks harga rumah global Knight-Frank meletakkan Malaysia di tangga ke-28, menokok 4 mata dari kedudukan 32 pada suku pertama tahun ini, media tempatan melaporkan tentang kadar kenaikan harga rumah dan hartanah di negara ini adalah lebih tinggi dari kadar kenaikan pendapatan pekerja di pasaran buruh.

Beliau juga memetik sumber The Edge yang melaporkan data dari institusi kewangan dan perbankan bahawa ‘kadar penolakan permohonan pinjaman adalah tinggi’ kerana pemohon tidak memenuhi syarat atau tidak layak.

“Masakan boleh pertumbuhan atau peningkatan dipacu oleh perbelanjaan isi-rumah atau domestik? Kata mereka secara sinis, data-data ekonomi rasmi ini semakin menjadi macam cerita ‘Alice in Wonderland’ atau semakin pelik,” ujarnya.

Dr Dzulkefly Ahmad

Dr Dzulkefly Ahmad

Dr Dzulkefly turut menyentuh tentang ‘Global Competitiveness Indeks’ (GCI) dikeluarkan Forum Ekonomi Dunia (WEF) yang meletakkan Malaysia di tangga ke-23 dari tangga ke-25 tahun lalu.

Melalui GCI, katanya 137 negara dinilai dalam 12 tunggak (pillars) penting antaranya institusi, infrastruktur, persekitaran makroekonomi, kesihatan, pendidikan dan sebagainya.

Walaupun pentadbiran Najib berbangga dengan kedudukan ini, persoalannya adakah prestasi ini mampu dipertahankan dan sejauh mana kehidupan rakyat lebih baik dengan peningkatan indeks GCI ini?

Beliau sebaliknya mengingatkan kerajaan tentang pengakuan Gabenor Bank Negara bahawa wujud ‘jurang’ atau ‘kesenjangan’ antara data-data yang baik dan memberangsangkan itu dengan realiti kehidupan rakyat di negara ini.

“Sama ada lonjakan pelbagai indeks dan angka pertumbuhan ekonomi, pokoknya rakyat tetap dan terus terbeban dengan kos sara hidup akibat ‘pukulan maut’ yang dikenakan ke atas rakyat antaranya penarikan subsidi barang asas (gula, beras, tepung dan minyak masak) dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang mencekik rakyat,” tegasnya.

Menurut Dr Dzulkefly, penarikan balik subsidi mengakibatkan harga barang meningkat antara 14% hingga 30%.

Sejak perlaksanaan GST pada April 2015, katanya kira-kira 50% perbelanjaan isirumah terkesan secara langsung dan hampir 20% perbelanjaan isirumah terkesan secara tidak langsung.

Malah tambah beliau, kenaikan tol antara 13% hingga 140% pada Oktober 2015 di 18 lebuhraya dan kenaikan tambang LRT antara 40% hingga 102% pada Disember 2015, menambah lagi beban rakyat.

“Rakyat lebih tahu hakikat kenaikan harga barang di pasar basah dan pasar kering dan di mana pun supermarket dan mall yang mereka pergi sejak orang yang bernama Najib mengambil alih tampuk pemerintahan.

“Muram dan suram ini bukan sahaja menyelubungi rakyat sebagai pengguna tetapi juga golongan peniaga dan usahawan. Pelbagai petanda perniagaan dalam ‘stress’; contohnya telefon tidak lagi diangkat, kedai juga kerap tutup, pekerja diminta bercuti atau berhenti, sementara hutang pihak kreditor terus melilit pinggang tak terbayar,” ujarnya.

Menurut beliau, kuasa membeli dan kemampuan berbelanja rakyat amat terjejas kerana GST walaupun pentadbiran Najib berbangga dapat menjana RM42 bilion perolehan daripada cukai itu.

Ketika kehidupan rakyat terkesan dengan pelaksanaan GST, Dr Dzulkefly mendedahkan kesan serupa yang dialami pihak korporat dan konglomerat.

Sebagai contoh, salah satu peneraju industri peruncitan negara, Mydin Holding Bhd pada Sept 2016 melaporkan kerugian pertama dalam 57 tahun pengalaman perniagaannya.

“Dalam suasana serba getir dan gusar ini, Najib dan Putrajaya berpada-padalah bermain dengan angka dan indeks. Sebab rakyat masih menuntut berbilion dana 1MDB yang disonglap dan mutakhir ini berbilion dollar pula dana KWSP dan Khazanah dilaburkan untuk memberi pekerjaan kepada rakyat Amerika!

“Sementara itu graduan anak bangsa terpaksa cuci tandas, menjadi juru jual atau cashiers di 7E atau SpeedMart. Juga ada yang terpaksa berhijrah mengutip buah di luar negara atau cari pekerjaan untuk kelangsungan kehidupan, sekaligus meneruskan penomena ‘brain drain’ yang kronik akibat kegagalan kerajaan menjana pekerjaan yang menasabah dan bermaruah untuk anak-bangsa,” tegas Dr Dzulkefly.

6.3
OVERALL SCORE
: 0.0
3 user votes x 8.3
CATEGORIES
TAGS