Cuaca panas belum jejas bekalan air negara, kata SPAN

Cuaca panas belum jejas bekalan air negara, kata SPAN

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Walau pun cuaca panas telah mula dirasai, namun pada masa ini bekalan air di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan masih lagi terkawal, kata Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Ismail Kasim.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, beliau berkata sehingga kini SPAN masih belum menerima sebarang laporan kekurangan sumber air disebabkan oleh cuaca panas.

Sehubungan itu, tambah beliau SPAN telah meminta operator air negeri-negeri memantau rapi kedudukan sumber air di empangan-empangan dan sungai-sungai yang membekalkan sumber air mentah ke loji-loji rawatan air di negeri masing-masing.

“Ini adalah kerana kerajaan negeri adalah bertanggung jawab untuk memastikan sumber air di negeri masing-masing mencukupi untuk memenuhi keperluan bekalan air,” katanya.

Sebelum ini Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Panglima Madius Tangau mengumumkan bahawa seluruh Malaysia akan menghadapi cuaca panas mulai Januari sehingga Mac.

Keadaan ini disebabkan fenomena El Nino yang sedang berlaku dan dijangka akan berterusan sehingga suku pertama 2016.

Fenomena El Nino ini dijangka boleh menyebabkan pengurangan jumlah hujan antara 20% hingga 60%.

Ismail menambah, selain daripada sumber air di empangan dan sungai, kerajaan negeri juga diminta mengkaji sumber alternatif seperti air bawah tanah dan kolam takungan bagi menambah sumber.

“Pengguna-pengguna juga dinasihatkan supaya berhemah dalam menggunakan air dan tidak membazir supaya sumber air yang ada akan dapat bertahan lebih lama,” katanya.

SPAN mengawal selia industri perkhidmatan air berdasarkan Akta Industri Perkhidmatan Air (AIPA) 2006 (Akta 655) yang telah berkuat kuasa pada 1 Januari, 2008.

Ia adalah sebuah badan kawal selia teknikal dan ekonomi yang berperanan menyelia dan mengawal selia perkhidmatan bekalan air dan perkhidmatan pembetungan di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan.

SPAN mengawal selia semua entiti dalam industri bekalan air dan pembetungan termasuk operator perkhidmatan bekalan air dan pembetungan awam dan persendirian, kontraktor bekalan air dan pembetungan, pemegang permit dan kelulusan produk bagi bekalan air dan pembetungan.

TAGS