Polis gagalkan cubaan serangan Daesh pada malam merdeka

Polis gagalkan cubaan serangan Daesh pada malam merdeka

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pihak polis menggagalkan cubaan melancarkan serangan pada malam Ambang Merdeka dengan penahanan tiga rakyat tempatan yang dipercayai anggota Daesh.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata ketiga-tiga suspek yang berumur antara 20 dan 27 tahun ditahan di ibu negara, Selangor dan Pahang menerusi operasi yang dijalankan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas pada Sabtu dan Isnin lepas.

“Ketiga-tiga suspek merupakan warga negara Malaysia yang menganggotai sel yang sama.

“Mereka menerima arahan daripada Mohamad Wanndy Mohamad Jedi untuk melancarkan serangan ke atas pusat hiburan di Kuala Lumpur, Kuil Hindu di Batu Caves, Selangor serta balai polis atau mana-mana anggota polis dengan menggunakan bom tangan atau senjata api pada malam Ambang Merdeka 2016,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata berkata pihak polis turut merampas sebutir bom tangan jenis K75, sepucuk pistol jenis CZ 2075 RAMI serta 24 butir peluru berukuran 9mm daripada suspek yang ditahan di Selangor pada Sabtu lepas yang merupakan seorang pemandu lori berusia 20 tahun.

Khalid berkata kesemua bahan letupan dan senjata api itu dibekalkan kepada suspek oleh orang perantaraan iaitu Mohamad Wanndy.

Beliau berkata dua lagi suspek merupakan seorang penjual daging berusia 27 tahun dan seorang penjual air berusia 20 tahun yang masing-masing ditahan di Pahang dan ibu negara Isnin lepas.

“Ketiga-tiga suspek merancang berlepas ke Syria untuk menyertai kumpulan pengganas dengan bantuan Mohamad Wanndy selepas berjaya melancarkan serangan tersebut,” katanya.

Beliau berkata kesemua suspek ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA iaitu kesalahan berkaitan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).

TAGS