Dakwaan merusuh di Lojing: Mahkamah Tinggi kekal keputusan bebas 3 Orang Asli

Dakwaan merusuh di Lojing: Mahkamah Tinggi kekal keputusan bebas 3 Orang Asli

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Majistret yang membebaskan tiga Orang Asli yang dituduh merusuh di kawasan pertanian Lojing.

Tiga orang asli Anes bin Akai, Itam bin Anjang dan Rahman bin Pandak telah didakwa di Mahkamah Majistret Gua Musang kerana pergaduhan melibatkan syarikat pembalakan dan pekerja pekerja mereka pada 26/2/2014.

Mahkamah Majistret telah membebaskan kesemua tertuduh, Pendakwaraya tidak berpuashati dan mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

Hakim Ahmad Bache dalam keputusannya kelmarin mengekalkan keputusan mahkamah majistret.

Anes yang mewakili kumpulan Orang Asli itu berkata beliau dan rakan-rakannya bersyukur atas keputusan itu dan berharap pihak pendakwa tidak memanjangkan kes ini.

“Kami amat sukacita kerana hakim yang mengendalikan perbicaraan hari ini Datuk Ahmad bin Bache begitu teliti menilai kes kami.

“Beliau menegur pihak pendakwa yang membuat rayuan ke Mahkamah Tinggi sedangkan butiran penghakiman majistret merekodkan bukti-bukti yang begitu jelas dan rasional,” katanya.

Malah lebih menarik beliau turut menegur cara penyiasatan yang dilakukan oleh pihak polis yang disifatkan beliau “ada sesuatu yang tidak kena”.

Menceritakan semula peristiwa yang berlaku hampir setahunlalu, beliau berkata, dia bersama enam orang kawan-kawannya melalui kawasan yang sedang dibersihkan untuk penanaman sayur di Lojing.

“Tiba-tiba kami dimarahi oleh sekumpulan pekerja yang mendakwa Orang Asli tidak boleh lalu di kawasan berkenaan.

“Kami meneruskan perjalanan kerana tidak ada pilihan untuk balik ke kampung kami, malangnya kami diserang oleh mereka menggunakan kayu dan saya sendiri berdarah di kepala dan tidak sedarkan diri,” katanya.

Bernasib baik katanya mereka dibantu oleh sekumpulan orang lain untuk dibawa ke hospital.

“Apa yang mengejutkan tiba-tiba polis datang menyiasat kami dan menuduh kami merusuh dan cuba mencederakan pekerja-pekerja ladang sayur, sedangkan kami ketika itu tidak ada sebarang senjata sama ada kayu atau pisau atau sumpit,” katanya.

Menurutnya, Orang Asli kalau mereka hendak bergaduh mereka akan bawa senjata dan tidak pergi dengan tangan kosong.

Sebagai rekod dalam satu kejadian 26 Februari 2014, 6 Orang Asli Temiar dari Kampung Tahu di Lojing, Kelantan telah diserang oleh sekumpulan besar pekerja asing Myanmar (antara 40 hingga 100 orang pekerja asing) ketika dalam perjalanan ke mesyuarat kampung.

Akibatnya, dua Orang Asli Temiar telah cedera teruk dan memerlukan rawatan di hospital dengan 7 jahitan (Itam bin Ajang) dan 15 jahitan (Rahman bin Uda) masing-masing.
Motosikal yang dimiliki oleh seorang lagi (Anes bin Akai) sengaja dirosakkan oleh jentolak selepas ditinggalkannya ketika melarikan diri.

Mangsa kemudian telah membuat laporan polis di Balai Polis Gua Musang dan membuat aduan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dengan bantuan peguam dari Majlis Peguam pada 5 Mac 2014.

Pada 9 Mac 2014, tiga daripada enam Orang Asli tersebut telah ditahan di Balai Polis Gua Musang untuk siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan atas dakwaan ‘memiliki senjata semasa rusuhan.’

Mereka yang ditahan ialah Itam Anjang, Rahman Uda dan Anis Akai yang menjadi mangsa serangan pada 26 Februari.

Pada 11 Mac 2014, ketiga-tiga Orang Asli Temiar telah didakwa di Mahkamah Majistret Gua Musang di bawah Seksyen 148 di mana mereka menuntut perbicaraan.

TAGS