Dakwah bukan sekadar bercakap – Ustaz Ahmad Awang

Dakwah bukan sekadar bercakap – Ustaz Ahmad Awang

Pendekatan dakwah melibatkan pelbagai bentuk gerak kerja dan tindakan termasuk turun ke lapangan mendekati umat, kata Penasihat Parti Amanah Negara (Amanah), Ustaz Ahmad Awang.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Ustaz Ahmad AwangPendekatan dakwah melibatkan pelbagai bentuk gerak kerja dan tindakan termasuk turun ke lapangan mendekati umat, kata Penasihat Parti Amanah Negara (Amanah), Ustaz Ahmad Awang.

Berkongsi pengalamannya dalam Program Kicau Deeni di Restoran Amjal berdekatan Universiti Malaya (UM) pagi tadi, beliau berkata, dakwah bukan berceramah semata-mata sebaliknya menuntut usaha untuk memahami isu-isu masyarakat.

Menurutnya yang pernah menduduki jawatan Pengarah Pusat Penyelidikan Islam sebelum bersara pada 1991, generasi pada masa ini sebenarnya menikmati hasil perjuangan terdahulu dalam usaha berdakwah.

Mengambil contoh pemakaian tudung, ujarnya, pematuhan kepada kewajipan menutup aurat itu menempuh jangka masa panjang dan bermula atas kemahuan pelajar sendiri.

“Saya dapat mengikuti turun naik perkembangan politik serta syiar Islam. Selepas 13 Mei (1969) sehingga awal tahun 1980-an, perkembangan Islam giat berlaku di semua peringkat termasuk jabatan kerajaan.

“Penuntut wanita di UTM (Universiti Teknologi Malaysia) yang dulunya Institut Teknologi Kebangsaan (ITK) mula-mula membudayakan pemakaian tudung. Banyak pihak bimbang dengan trend tudung ketika itu tapi berbeza dengan Ungku Aziz sebagai Naib Canselor UM, beliau tiada halangan atas prinsip hak dan kebebasan.

“Di peringkat sekolah pula, pelajar Kolej Islam Klang mula-mula pakai tudung. Berlaku gerakan dakwah yang hebat dulu sehingga pelajar yang melanjutkan pengajian di UK (United Kingdom), waktu pergi pakai skirt mini, bila terlibat dalam gerakan dakwah di sana, bertukar pakai maxi dan telekung mini, bahkan ada bernikah ketika dalam pengajian,” cerita bekas pensyarah Pendidikan Islam di UTM, Jalan Semarak itu.

Mengakui perkembangan tersebut termasuk berniqab tidak menyenangkan pegawai kanan kerajaan tertentu termasuk menggunakan alasan keselamatan, beliau ketika itu menjelaskan pemakaian patuh syariat berkenaan bagaimanapun tidak bercanggah dengan perlembagaan.

Turut membantu gerakan dakwah berkembang pesat, katanya, peranan pihak kerajaan apabila menubuhkan Bahagian Agama di Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada 1974.

“Bahkan, saya pernah mendapat lebih 10 pegawai yang sanggup berkhidmat percuma bagi tujuan dakwah. Tunku Abdul Rahman selepas tidak aktif dalam politik juga aktif dalam usaha menggalakkan pertambahan saudara baru melalui Perkim (Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia).

“Dalam kursus untuk PTD (Pegawai Tadbir dan Diplomatik), modul-modul pengajian Islam juga dilaksanakan tapi sekarang difahamkan kursus di bawah ILIM (Institut Latihan Islam Malaysia) hanya untuk pegawai berkaitan jabatan agama saja,” jelasnya lagi yang menerajui pimpinan Persatuan Ulama’ Malaysia selama 17 tahun.

Program Kicau Deeni yang mulai dilancarkan hari ini merupakan anjuran Sekretariat Penasihat Umum Amanah dengan kerjasama Pemuda Amanah Nasional dan Wanita Muda Amanah Nasional.

TAGS