Dana Yawas: Jamal sekali lagi buat laporan ke pejabat SPRM

Dana Yawas: Jamal sekali lagi buat laporan ke pejabat SPRM

Pengerusi Gabungan NGO Selangor Datuk Seri Jamal Md Yunos tampil sekali lagi di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor hari ini untuk membuat laporan khas mengenai Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok berkenaan dengan Dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).

Jamal dan 50 pengikutnya yang lain hadir kira-kira pada pukul 10 pagi ini membawa fail biru yang mengandungi maklumat yang lengkap untuk diserahkan kepada pihak SPRM.

“Kenyataan media yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Seputeh yang lalu, kononnya kami ini menyebarkan fitnah dan cuba untuk menjatuhkan kredibiliti beliau sebagai Ahli Parlimen Seputeh, namun hari ini kami hadir sekali lagi ke Pejabat SPRM untuk membuat laporan khas dan membuktikan kami ini bukanlah kaki fitnah atau pembohong seperti yang dinyatakan,” ujarnya dalam sidang media diadakan hari ini.

Teresa dalam satu kenyataan menafikan beliau menerima dana Yawas sejumlah RM2juta sejak 2016 .

Dakwaan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu mengatakan Teresa merupakan wakil rakyat yang pembohong, tidak boleh dipercayai dan hipokrit kerana hanya memberi waris sebanyak RM1,000 daripada RM2,500 yang sepatutnya diberikan kepada penerima.

Sebaliknya Teresa menafikan dakwaan Jamal dan beliau bersedia untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Jamal kerana didakwa memfitnahnya.

Bagaimanapun Jamal mempertahankan dakwaannya terhadap Teresa dan mencabar agar Teresa membawa dakwaannya itu ke mahkamah jika benar beliau tidak terbabit dalam dana Yawas.

“Saya berharap selepas ini SPRM dapat menjalankan siasatan terhadap Ahli Parlimen Seputeh berkenaan kerana dipercayai ada unsur ketidaktelusan, pecah amanah dan salahguna kuasa serta berlakunya rasuah melalui dana Yawasa berkenaan,” ujarnya.

TAGS