DAP jangan ‘berlakon’ sokong Islam, bidas Khairuddin

DAP jangan ‘berlakon’ sokong Islam, bidas Khairuddin

DAP tidak perlu berlakon untuk menyokong Islam jika perjuangan parti itu menjadikan Malaysia sebuah negara sekular kerana ia bercanggah dengan prinsip Islam sebagai pemerintahan, kata Ahli Parlimen Kuala Nerus Datuk Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali.

Beliau membidas kenyataan Ketua DAP Lim Kit Siang yang dilaporkan berkata DAP menyokong prinsip Islam dalam perlembagaan.

“Saya sangat tertarik dengan tajuk berita “DAP sokong Islam” dalam Sinar Harian dengan isi beritanya sebagaimana dilaporkan daripada Lim Kit Siang bahawa “DAP menyokong prinsip Islam dalam perlembagaan”.

“Kalau benar begitu, kenapa DAP menentang sekeras-kerasnya pengislaman anak bawah umur 18 tahun oleh salah seorang ibu atau bapa yang memeluk Islam yang telah ditetapkan dalam perlembagaan dan selaras dengan fatwa-fatwa peringkat kebangsaan dan fatwa negeri? Tidakkah ia merupakan peruntukan dalam perlembagaan yang selaras dengan Islam?

“Ketika pindaan Akta 164 berlangsung di Dewan Rakyat lalu sangat ketara, yang dipertikaikan oleh ahli-ahli Parlimen DAP ialah kenapa tidak dimasukkan cadangan pindaan 88a yang membolehkan agama anak ditentukan secara bersama oleh ibu dan bapa sedangkan mereka tahu cadangan pindaan itu bercanggah dengan perlembagaan dan bercanggah dengan Islam?,” kata Khairuddin dalam status yang dimuat naiknya di laman facebook semalam.

{loadposition myposition} Kata beliau lagi, tindakan dan perlakuan DAP jelas menunjukkan penentangan mereka terhadap Islam.

Sejak 2015 khususnya, DAP kembali menunjukkan penentangan terhadap usaha menegakkan undang-undang jenayah Islam di Kelantan. Usaha memperkasakan RUU 355 bagi memperkasakan Mahkamah Syariah yang hanya melibatkan orang Islam juga ditentang keras oleh DAP.

“Para pengundi Islam tidak perlu terpedaya dengan kata-kata manis DAP bagi memenangi PRU ke 14. Kegagalan Umno/Bn menguruskan negara secara berhemah berasaskan prinsip Islam telah menjadi modal DAP untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara. Namun, percayalah Islam tidak akan selamat di bawah pemerintahan DAP.

“Pas hadir bersama Gagasan Sejahtera menawarkan alternatif berkerajaan kepada rakyat Malaysia pada PRU ke 14. “Sejahtera bersama Islam” menjadi moto Pas bagi menyelamatkan negara daripada pelbagai kemelut politik, ekonomi dan sosial,” jelasnya.

CATEGORIES
TAGS