DAP Johor bimbang pusat hiburan haram masih beroperasi di Kluang

DAP Johor bimbang pusat hiburan haram masih beroperasi di Kluang

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

DAP Johor melahirkan kerunsingan kepada pihak berkuasa tempatan kerana masih lagi gagal menghentikan aktiviti pusat hiburan haram di Kluang, Johor.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor Sheikh Omar Ali berkata, pihaknya mendapat aduan bahawa beberapa pusat perjudian yang beroperasi semula telah menimbulkan kerunsingan dikalangan masyarakat setempat.

“Saya ingin bertanya apakah tindakan atau kompaun yang dikenakan oleh pihak berwajib tidak setimpal dalam memastikan pengusaha pusat-pusat perjudian haram ini menghentikan aktiviti mereka?

“Mengapakah tindakan undang-undang yang dikenakan masih gagal membendung hal ini?

“Apakah disana wujud kelompangan sewaktu operasi apabila setiap kali serbuan dijalankan, mesin-mesin dirampas dan disita tetapi individu-individu penting yang menjadi penggerak judi haram masih bebas bergerak dan menghidupkan kembali aktiviti ini?,” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Sheikh Omar lagi, DAP berhasrat untuk mengadakan pertemuan susulan dengan pihak berwajib dalam waktu terdekat ini.

“Pihak kami akan mengadakan pertemuan-pertemuan susulan dengan pihak-pihak berwajib yang terlibat bagi mendapatkan maklumat, berkongsi pandangan dan bekerjasama bagi memastikan aktiviti judi haram ini dapat dibanteras dan kesejahteraan rakyat terpelihara,” ujarnya.

Sebagai rekod pada 11 September 2016 yang lalu, DAP telah membangkitkan isu 22 pusat perjudian haram yang telah dikenalpasti di kawasan Kluang.

Hal ini telah diketengahkan menerusi kenyataan media bersama oleh Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong, ADUN Mengkibol Tan Hong Pin dan Pengarah Pendidikan Politik DAP Johor Mahdzir Ibrahim.

Pada 14 September 2016, 50 anggota penguatkuasa Majlis Perbandaran Kluang (MPK) bersama agensi-agensi lain iaitu Pejabat Daerah Kluang dan SPRM telah melaksanakan ops bersepadu ‘Skyfall’ dan menyerbu 3 premis di Jalan Duku, Taman Kluang Barat dan Jalan Lambak yang disyaki menjalankan aktiviti perniagaan pusat Hiburan Keluarga berunsur judi.

Sebanyak 148 unit mesin slot judi telah disita berserta arahan menutup premis dan pengeluaran kompaun keatas pemilik premis perniagaan terlibat.

Selang beberapa hari, satu lagi operasi serbuan dibuat oleh MPK, Pejabat Daerah, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Kluang Parade.

Kali ini kira-kira 234 mesin slot berunsur judi berjaya dirampas dan disita di 5 premis Pusat Hiburan Keluarga.

“Saya mengucapkan tahniah atas usaha dan tindakan segera diambil oleh pihak berwajib dalam membasmi aktiviti perjudian haram di Kluang ini.

“Namun beberapa hari lalu, kami di pihak Pusat Komuniti Kluang telah sekali lagi didatangi rakyat dengan aduan bahawa beberapa pusat perjudian tersebut telah beroperasi semula kurang 48 jam dari tempoh serbuan dibuat oleh pihak berkuasa,” terangnya.

TAGS