DAP kesal TPPA tidak dikupas mendalam sebelum usul diluluskan

DAP kesal TPPA tidak dikupas mendalam sebelum usul diluluskan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pimpinan DAP khususnya dalam kalangan Ahli Parlimen yang mengundi dengan menolak usul Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), kesal berikutan isu itu tidak dikupas dengan mendalam bagi menjamin kedaulatan negara dan kebajikan rakyat tidak tergadai.

Semalam, usul TPPA diluluskan di Dewan Rakyat dengan dengan 127 Ahli Parlimen BN menyokong dan 84 Ahli Parlimen pembangkang menolak.

Antaranya, Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming yang aktif berbahas mengenai usul berkenaan, kesal berikutan cadangannya untuk menubuh Jawatankuasa Khas Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) langsung tidak diberi pertimbangan.

“Kebimbangan saya sekarang ialah proses rektifikasi TPPA yang akan memakan masa dua tahun akan dilaksanakan secara tidak telus,” katanya dipetik portel parti itu.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong juga terkilan kerana usul itu yang membabitkan isu serius dan membabitkan kepentingan rakyat, diluluskan sedangkan ruang perbincangan sangat terhad

“Sepatutnya melibatkan lebih banyak pihak dan perlu kajian mendalam. Jika tidak, ia hanya akan mengakibatkan masalah. Memanglah, kerajaan kata ia bagus tapi bila diimplementasi seperti GST, akhirnya ia membebankan rakyat,” katanya.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago pula menyifatkan perbahasan Ahli Parlimen BN terhadap kandungan 30 bab perjanjian itu, sebagai cetek dan berharap kerajaan menyediakan penjelasan penuh terhadap intipati perjanjian berkenaan.

“Kerajaan perlu sediakan komen yang jelas terhadap semua 30 bab perjanjian dengan 6,000 halaman itu. Kita boleh beri perhatian kepada kebimbangan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Shafie Apdal mengenai ura-ura firma gergasi untuk mengambil alih pasaran Malaysia.

“Pakatan Harapan sudah memanjangkan beberapa pandangan dan kita perlukan perdagangan yang telus dan adil. Malangnya TPPA tidak cerminkan ketelusan itu,” katanya.

Dengan keputusan menyebelahi kerajaan ini, Malaysia bakal terikat dengan peraturan seragam yang ditawarkan Amerika Syarikat melibatkan alam sekitar, hak cipta intelek, paten ubatan, hal ehwal pekerja dan perdagangan.

Antara kesan utama yang menimbulkan kebimbangan rakyat negara ini ialah melibatkan kenaikan harga ubatan, kehilangan pekerjaan, penutupan perniagaan tempatan terutamanya dan isu kedaulatan negara apabila syarikat asing berhak untuk menyaman kerajaan.

TAGS