DAP mahu Ahmad Zahid siasat pencemaran air di Sungai Buah

DAP mahu Ahmad Zahid siasat pencemaran air di Sungai Buah

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi digesa segera bersuara tentang langkah-langkah diambil kementeriannya untuk membantu usaha menangani masalah pencemaran air di negeri Selangor.

Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo dipetik berkata, gangguan bekalan air di Selangor yang berlaku, berpunca daripada pencemaran yang bermula dari Sungai Buah di Negeri Sembilan yang mengalir masuk ke Sungai Semenyih.

Katanya, perkara berlaku itu sangat serius kerana memberi kesan kepada keperluan asas bekalan air.

“Impaknya kena kepada begitu ramai orang, termasuk kesihatan dan rutin harian mereka,” ujarnya dalam satu kenyataan seperti dipetik dari Roketkini.

Meski tuduhan serius telah diberikan dalam hal ini termasuk unsur sabotaj, Gobind mengambil maklum sikap berdiam diri Kementerian Dalam Negeri tentang langkah-langkah yang boleh diambil untuk menangani masalah terbabit.

“Bagi saya, ini soal keselamatan negara yang menuntut perhatian semua pihak tidak kiralah agensi negeri atau persekutuan.

“Kita mesti mencari punca masalah ini dan bekerja keras supaya ia tidak berulang lagi,” ujar Ketua Biro Undang-undang DAP itu.

Pada Selasa, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali turun padang meninjau sendiri punca pencemaran.

“Semua punca pencemaran ini berada di dalam Negeri Sembilan, bukan Negeri Selangor. Hulu Sungai Buah berada di Negeri Sembilan.

“Aliran Sungai Buah ini masuk ke Sungai Semenyih menyebabkan ia mengganggu Loji Rawatan Air Sungai Semenyih, maka kita terpaksa menutup loji rawatan itu,” katanya kepada pemberita selepas melawat kerja penyedutan air oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) di Kampung Sungai Buah.

TAGS