DAP mahu Umno Johor ambil langkah berani lakukan perubahan

DAP mahu Umno Johor ambil langkah berani lakukan perubahan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Ahli Jawatankuasa DAP Johor mendesak pemimpin Umno Johor mengambil langkah berani untuk lakukan perubahan besar-besaran bagi melawan kleptokrasi Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Dalam satu kenyataan bersama oleh Sheik Omar Ali dan Mahdzir Ibrahim berkata, senario hari ini melihatkan gelombang besar rakyat dan kesepakatan parti-parti politik sahaja mampu menyelamatkan negara.

“Penghijrahan ahli-ahli Umno ke parti Bersatu di Johor dilihat bakal menyumbang kearah merealisasikan negeri Johor sebagai ‘engine head’ kepada perubahan politik Malaysia sepertimana yang pernah diungkapkan oleh Ahli Parlimen Gelang Patah setahun yang lalu.

“Kami optimis gelombang perubahan akan berlaku di Johor menjelang PRU 14 khususnya dikalangan orang Melayu. Melayu tidak pekak telinga, buta mata atau hati dari melihat skandal yang berlaku hari ini yang mencemar dan memundurkan negara.

“Pada masa sama, kami harap Umno Johor di bawah pimpinan Datuk Seri Khaled Nordin turut mengambil langkah berani untuk lakukan perubahan besar-besaran bagi melawan kleptokrasi Najib. Hanya gelombang besar rakyat dan kesepakatan parti-parti politik sahaja mampu menyelamatkan negara.

” Oleh itu, kami mendesak agar Khaled Nordin selaku Ketua Perhubungan Umno Johor menunjukkan sikap, memberi respon dan menyatakan pendirian terhadap perkembangan terbaru ini (penghijrahan figura-figura U Johor menyertai Bersatu),” ujar kenyataan itu.

Menurutnya lagi dalam konteks bangsa Johor yang bersatu padu, unik dan tersendiri, mereka melihat bahawa Umno yang dikuasai Najib ujarnya, tidak lagi boleh menjadi tulang belakang kepada politik bangsa Johor.

“Johor perlu mencetuskan politik baharu dengan formula yang baharu. Johor perlu menjadi negeri paling hadapan (front liner) kepada penjajaran semula (political realignment) politik di peringkat nasional.

“Setiap individu dan parti di Johor yang ingin mengembalikan Malaysia ke landasan yang tepat, harus bersatu untuk menentang Umno di negeri paling selatan ini,” ujarnya.

Kenyataan bersama ini dibuat ekoran perkembangan terkini di Johor berhubung penghijrahan ahli-ahli Umno ke parti Bersatu membabitkan penghijrahan beberapa individu yang dianggap tokoh penting akar umbi Umno Johor yang sedang berjalan.

“Kami anggap ini merupakan satu ‘hijrah besar’ bangsa Johor.

“Bahkan kami mendengar, menyedari dan melihat sendiri wujudnya gerakan yang agresif di peringkat akar umbi di Johor ini yang sedang giat mencari ahli untuk parti Bersatu di setiap kawasan Parlimen dan Dun.

“Kami kagum dengan keberanian ini dan kami percaya ini adalah gelombang awal kepada penjajaran semula politik Johor yang bakal melimpah ke peringkat nasional,” ujarnya.

TAGS