‘DAP menang Azmin tergugat, saya menang Budiman tergugat’

‘DAP menang Azmin tergugat, saya menang Budiman tergugat’

Pengerusi BN Parlimen Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos mendakwa lima calon Melayu dari DAP akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor bagi tujuan untuk merampas kerusi menteri besar yang kini disandang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau mendakwa, parti gabungan dalam Pakatan Harapan (PH) kini sedang menghadapi krisis mengenai kerusi menteri besar kerana Timbalan Presiden PKR itu sendiri,mengetahui tidak akan menjadi MB Selangor sekiranya PH menang bagi penggal ketiga di negeri itu.

Ini bersandarkan kepada kedudukan 56 kerusi Dun di Selangor pada masa ini diwakili DAP sebanyak 14 kerusi, diikuti PKR dan Pas masing-masing 13 manakala AMANAH (2), Bebas (2) serta BN (12).

Jamal Md Yunos ketika memberikan penerangan kepada media mengenai isu semasa politik Negeri Selangor dalam menghadapi PRU14.

“Beliau (Azmin) sudah membilang daripada kerusi ditandingi PKR tidak akan boleh mengatasi bilangan kerusi yang akan dimenangi DAP.

“Kita (BN) di Selangor tahu DAP mempunyai banyak strategi. Sekurang-kurangnya kali ini, lima calon Melayu akan menjadi wakil kepada DAP pada PRU14.

“Ini kerana DAP tahu syarat untuk tubuhkan kerajaan negeri bakal menteri besar mestilah orang Melayu dan beragama Islam.

“Sebab itu Azmin kata ‘AMANAH tidak amanah lagi’ kerana dia tahu AMANAH bersekongkol dengan DAP,” ujarnya yang merujuk perbalahan Azmin dengan Pengerusi AMANAH Negeri Selangor Izham Hashim berkaitan dengan mesyuarat pembahagian kerusi Dun di negeri itu yang masih belum dimuktamadkan oleh parti gabungan dalam PH.

Beliau bercakap dihadapan media dalam Majlis Ramah Mesra Media dan Isu Semasa di Parlimen Sungai Besar di Sekin Village Resort pada Sabtu.

Bertanding Dun Bukit Antarabangsa

Jamal yang juga Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu mengulangi pendiriannya untuk menentang Azmin di Dun Bukit Antarabangsa.

Bahkan beliau menyakini pengundi di Dun Bukit Antarabangsa akan memberikan sokongan penuh kepadanya sekiranya beliau bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti.

“Saya sudah mulakan gerak kerja dan melalui kajian dibuat jentera parti 27,000 pengundi telah saya dekati mendapati sekitar 51% pengundi menyokong saya sekiranya saya bertanding di Bukit Antarabangsa.

“Saya tidak kata akan menang besar kerana saya belum habis mendekati (berjumpa) pengundi keseluruhannya keyakinan saya ini berdasarkan tinjauan yang mendapati pengundi di Bukit Antarabangsa sudah bosan dan benci kepada Azmin kerana pandai berpolitik tetapi Dun sendiri tidak dijaga dengan baik.

“Keyakinan saya untuk menang di Dun Bukit Antarabangsa kerana Azmin dan komponen PH sedang hadapi krisis di situ,” dakwanya.

Kata Jamal lagi, ada pihak yang memaklumkan beliau akan kalah di Dun Bukit Antabangsa berbanding bertanding di Sungai Besar kerana kapasitinya sebagai Ketua Umno Bahagian Sungai Besar.

Bagaimanapun Jamal berkata, beliau tidak takut kalah di Dun Bukit Antarabangsa.

“Saya nyatakan pendirian bersedia lawan Azmin di Bukit Antarabangsa walaupun ada yang kata kerusi itu berisiko,saya tidak pernah takut kepada kekalahan tetapi saya takut menang.

“Jika saya menang mengalahkan Azmin di Dun Antarabangsa nanti YB Budiman akan tergugat saya pula akan jadi menteri besar,” ujarnya.

Tan Sri Shahrizat Jalil (kanan) ketika sidang media di Sungai Besar pada Sabtu yang membayangkan beliau seakan bersedia menerima tawaran BN  Sungai Besar mencadangkan namanya kepada pucuk pimpinan parti untuk bertanding  di Parlimen Sungai Besar .

Strategi BN Sungai Besar mencadangkan  Shahrizat, Liew Tiong Lai

Datuk Budiman Mohd Zohdi menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar pada 2016 menentang Pas dan AMANAH berikutan kematian penyandangnya Allahyarham Noriah Kasnon.

Menerusi Budiman BN memperoleh 16,800 undi mengekalkan kerusi Parlimen Sungai Besar dengan majoriti 9,191 menewaskan calon Pas Dr Abdul Rani Osman (6,902) dan calon AMANAH Dr Azhar Abdul Shukor (7,609).

Budiman juga adalah penyandang kerusi Dun Sungai Panjang dalam PRU13 lalu mengalahkan calon Pas.

Bagi Dun Sekinchan DAP menang majoriti 2,239 yang disandang Ng Suee Lim mengalahkan BN.

Bagi PRU14 Umno-BN Bahagian Sungai Besar pada Sabtu  turut mengumumkan untuk mencadangkan kepada pucuk pimpinan parti agar Ketua Pergerakan Wanita Umno Tan Sri Shahrizat Jalil bertanding di kerusi Parlimen Sungai Besar.

Manakala Budiman akan kekal di kerusi Dun Sungai Panjang dan Presiden MCA Datuk Seri Liew Tiong Lai dicadangkan bertanding di kerusi Dun Sekinchan pada PRU14.

Jamal menolak pandangan imej ‘tidak bersih’ Shahrizat yang terpalit dengan skandal National Feedlot Corporation (NFC)  bakal menjejaskan peluang  BN memenangi kerusi Parlimen Sungai Besar yang dianggapnya hanya fitnah pembangkang.

Namun Jamal berkata, strategi  BN di Sungai Besar adalah untuk memastikan Parlimen dan dua Dun  dikekalkan kepada BN.

Sekiranya BN Selangor berjaya merampas semula Selangor dari pakatan pembangkang, Budiman dijangka akan dilantik sebagai Menteri Besar dianggap sebagai satu strategi penting dalam gerak kerja jentera parti dilaksanakan khusus di Parlimen Sungai Besar untuk PRU14.

Ia semata-mata untuk memastikan  Parlimen dan  Dun di Sungai Besar itu diterajui pemimpin Umno-BN bagi memastikan pembangunan di Sungai Besar terus diperhebatkan apabila terdapat dua menteri berjawatan penuh dilantik dalam kabinet baru kerajaan BN kelak.

Jamal ketika memberikan penerangan mengenai mencadangkan Shahrizat calon di Parlimen Sungai Besar kepada ketua cawangan empat peringkat dan jentera parti dalam menghadapi PRU14.

Percaturan kerusi BN dan PH

Sebagai Ketua Jentera Pilihan Raya BN Sungai Besar Jamal turut mendedahkan BN menjangkakan dengan percaturan kerusi Parlimen dan Dun antara PH dan BN, sekurang-kurang BN Selangor menyasarkan 9 kerusi Parlimen dan 34 kerusi Dun pada PRU14 ini.

Bagaimanapun beliau berkata,lima kerusi Dun yang enggan didedahkan lokasinya itu, adalah kerusi panas yang agak sukar dimenangi BN yang akan menjadi penentu kepada jentera pilihan raya BN untuk menjalankan strategi merampas semula Selangor daripada PH.

“Melalui kaji sikap pengundi BN, kita  yakin dan percaya 29 kerusi ditambah 5 kerusi Dun dan 9 kerusi parlimen untuk menang,” ujarnya.

Dalam PRU13 lalu BN hanya memperoleh 4 kerusi Parlimen dan 12 kerusi Dun yang terus mengekalkan pemerintahan Pakatan Rakyat yang diwakili PKR, Pas dan DAP di Selangor selama dua penggal.

Manakala Majlis Presiden Pakatan Harapan pada Januari lalu telah mengumumkan pembahagian kerusi Parlimen  bagi PH seluruh negeri.  Bagi kerusi PH di Selangor yang mana PKR  memperoleh 10 kerusi parlimen; AMANAH (5);DAP (4)  Bersatu (3) manakala 56 kerusi Dun masih lagi belum diumumkan secara rasmi oleh PH Negeri Selangor.

 

4.5
OVERALL SCORE
: 7.0
3 user votes x 3.7
CATEGORIES
TAGS