DAP perlu letak calon Melayu, tegas tolak jawatan MB – Kit Siang

DAP perlu letak calon Melayu, tegas tolak jawatan MB – Kit Siang

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang menyarankan DAP meletakkan calon Melayu di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) khususnya di Perak dan Johor dalam pilihan raya umum akan datang bagi menggambarkan ia adalah parti untuk semua kaum.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Lim Kit SiangKetua Parlimen DAP Lim Kit Siang menyarankan DAP meletakkan calon Melayu di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) khususnya di Perak dan Johor dalam pilihan raya umum akan datang bagi menggambarkan ia adalah parti untuk semua kaum.

Menurut ahli politik veteran itu, DAP mudah terperangkap ke dalam jerangkap samar pihak yang mahukan ia terlibat dalam perbalahan kaum justeru menjadikan parti itu tidak berwajah Malaysia dan dilihat memperjuangkan hak satu-satu kaum sahaja.

“Saya mahu berterus terang dan bersikap agak kritikal di sini. Kita (DAP) jatuh dalam perangkap sedemikian di Perak pada pilihan raya lalu.

“Untuk dua pilihan raya umum, kita tidak meletak sebarang calon kaum Melayu kerana ada cakap-cakap yang mengatakan langkah itu akan mengecilkan hati rakan kita (Pas) ketika itu,” ujarnya dalam satu tulisan panjang yang diterbitkan hari ini sempena 50 tahun penubuhan DAP.

Beliau mengimbau kebimbangan Pas, rakan sekutunya dalam Pakatan Rakyat pada PRU 2008 dan PRU 2013, bahawa DAP akan menuntut jawatan Menteri Besar jika parti itu meletakkan calon Melayu di peringkat Dun di Perak.

Menyifatkan tindakan itu sebagai salah, beliau menyarankan DAP meletak calon Melayu di Perak pada pilihan raya umum akan datang sambil menegaskan parti itu tidak berniat untuk mengisi jawatan Menteri Besar jika ditakdirkan menang.

“Saya sudah menyuarakan pandangan tegas itu kepada kepimpinan Perak dan saya tidak fikir kita patut membuat kesalahan sama lagi,” tegasnya.

Menurut Kit Siang, tanggapan yang sama juga disuarakan Amanah yang tidak mahu DAP meletak calon Melayu di peringkat Dun terutama di Johor berikutan tuduhan DAP sebagai parti Cina.

“Ia jerangkap samar politik. Kita harus menangani perkara ini secara serius,” tegasnya.

Kit Siang juga mahu DAP lebih sensitif terhadap serangan jahat yang menuduh parti itu sebagai ‘parti Cina’ atau ‘parti agama Kristian’.

“Terdapat banyak tuduhan bahawa mesyuarat di Pulau Pinang bertujuan membentuk sebuah negara Kristian, ada segelintir menggambarkan DAP sebagai parti yang mengagungkan Kristian, ada sebuah buku bertajuk ‘Sang Nila Utama and the Lion of Judah’ yang secara serius melakukan serangan jahat dengan menyatakan wujud konspirasi di negara ini untuk mengubah Malaysia menjadi negara Kristian, dan DAP kononnya sebahagian usaha itu,” ujar beliau.

Sambil menepis tuduhan itu sebagai palsu dan tidak benar, beliau menganggap tuduhan liar itu sebagai ‘makanan propaganda Umno’ untuk memburuk-burukkan DAP dan mengelirukan orang Melayu dengan gambaran salah kononnya ia perlawanan antara Melayu lawan Cina, dan Islam lawan Kristian.

“Semua ini tidak benar sama sekali tetapi bagaimana kita boleh menepis segala penipuan itu?” soalnya.

Sehubungan itu beliau menyarankan aktivis DAP untuk mendekati rakyat dan tidak terlalu bergantung kepada media dan tinjauan pendapat.

Aktivis DAP, ujarnya perlu berani mengubah DAP kepada parti untuk seluruh rakyat Malaysia yang sebenar, dengan sokongan seluruh rakyat tanpa mengira kaum.

“Tidak ada seorangpun berpandangan kita mengkhianati dan berkompromi atau menjual prinsip kita, ideal dan objektif. Yang kita perlu ubah secara drastik ialah modus operandi kita, bukannya ideal dan prinsip kita, untuk menjadi lebih inklusif untuk mengharapkan sokongan semua rakyat Malaysia,” ujarnya.

TAGS