DAP rakam takziah nahas bas ekspres di Johor

DAP rakam takziah nahas bas ekspres di Johor

Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong secara konsisten mendesak pihak kerajaan agar menubuhkan Panel Penasihat Bebas sejak 2013 sejurus selepas tragedi Genting Highlands yang turut melibatkan sebuah bas ekspres.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

DAP Johor merakam ucapan takziah kepada semua mangsa tragedi kemalangan melibatkan bas ekspres Alisan dekat Pagoh pagi tadi.

Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong berkata beliau merasa amat sedih dan terkilan dengan apa yang berlaku kerana telah lama menyuarakan isu keselamatan jalan raya di dalam dan luar Parlimen sebelum ini.

Ahli Parlimen Kluang itu berkata,  beliau secara konsisten mendesak pihak kerajaan agar menubuhkan Panel Penasihat Bebas sejak 2013 sejurus selepas tragedi Genting Highlands yang turut melibatkan sebuah bas ekspres.

“Saya menggesa agar Kementerian Pengangkutan dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) segera merangka solusi tuntas bagi memastikan hal ini tidak berulang lagi.

“Isu-isu seperti keselamatan, perlesenan, penggajian yang bersesuaian dan kebajikan pemandu adalah antara aspek yang perlu diberi perhatian dan menuntut keazaman politik yang tinggi agar penambahbaikan serta pembaharuan dapat direalisasikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 3.30 pagi tadi, 14 maut manakala 16 lagi cedera apabila bas terjunam ke dalam cerun sedalam 10 meter di Kilometer 137.3, Lebuhraya Utara Selatan arah utara berdekatan kawasan Rehat dan Rawat Pagoh.

Ketua Polis Daerah Muar ACP Azman Ayob berkata hasil siasatan awal mendapati bas itu dipercayai dipandu laju sebelum terjunam ke dalam cerun dan merempuh benteng konkrit laluan penduduk Kampung Jayo di bawah lebuh raya tersebut.

TAGS