Dari Kampung Gajah ke Buenos Aires

Dari Kampung Gajah ke Buenos Aires

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Bangga Yoep! Itu yang boleh diungkap sebagai rakyat Negeri Perak dengan kejayaan pelumba Malaysia, Khairul Idham Pawi apabila merangkul trofi juara Moto3 pada Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) di Grand Prix Argentina baru-baru ini.

Khairul Idham, Honda Team Asia (Honda) menamatkan perlumbaan dengan mencatat masa terpantas 41 minit 35.452 saat di Litar Termas de Rio Hondo sekaligus 26 saat meninggalkan pelumba Sepanyol, Navarro (Estrella Galicia 0.0) serta Brad Binder (Red Bull KTM Ajo).

Selain itu, pelumba Malaysia yang lain iaitu Adam Norrodin, Drive M7 SIC Racing Team (Honda) menamatkan perlumbaan dengan mencatat masa 42 minit 21.625 saat dengan menduduki tempat ke sebelas dalam kejuaraan tersebut.

Negara pelumba yang mendominasi kejuaraan tersebut kebanyakkan datang dari Negara Itali iaitu seramai sebelas orang pelumba dan Negara Sepanyol seramai enam orang pelumba, pelumba Sepanyol berjaya menduduki tempat kedua kejuaraan.

Kenapa dari Kampung Gajah? Ini kerana Khairul Idham yang mewakili Honda lahir di Kampung Gajah, Perak dan terletaknya Litar Pulau Dato’ Sagor, kampung Telok dekat kampung Gajah iaitu kawasan terpencil berdekatan bandar Teluk Intan.

Ianya terletak bersebelahan dengan Kompleks Sejarah Pasir Salak yang dipisahkan oleh Sungai Perak, litar ini sebenarnya adalah sebuah pulau di tengah-tengah Sungai Perak dan litar ini berkedudukan 1.5 kilometer dari pekan Kampung Gajah.

Mengikut sejarahnya, pulau ini bermula apabila dikatakan telah timbul sendiri akibat fenomena semulajadi alam akibat daripada aliran air sungai yang membawa pasir-pasir sehingga terbentuknya sebuah pulau kecil.

Penduduk kampung di kampung Telok telah menggunakan pulau ini untuk menanam jagung, manakala pada waktu itu pulau ini dikenali sebagai Pulau Belalang sehinggalah pada tahun 1999, usaha membangunkan pulau ini dengan menambak dan membesarkannya.

Panjang litar ini adalah 1.32 kilometer dengan lebar jalan seluas 10 meter dan litar ini mempunyai laluan lurus sepanjang 606 meter dengan lebar jalan 14 meter bersesuaian untuk perlumbaan sprint test / drag (350 meter).

Kejayaan Khairul Idham tidak putus mencurah ucapan penghargaan daripada semua lapisan masyarakat atas kejayaan anak muda Malaysia ini yang membanggakan negara kita dan tidak lupa Negeri kelahirannya iaitu Perak khasnya.

Di Perak khasnya, Kerajaan Negeri Perak telah mengumumkan untuk memberikan insentif berjumlah RM 100 Ribu sepertimana yang diumumkan oleh Datuk Seri Dr. Haji Zambry Abd Kadir, Menteri Besar Negeri Perak.

Akan tetapi insentif sebelum ini telah dimasukkan ke Pusat Khidmat Kampung Gajah kerana Khairul Idham telah bertolak ke Argentina sebanyak RM 60 Ribu dan ditambah lagi sebanyak RM 40 Ribu setelah beliau menempuh kejayaan tersebut.

Tahniah kepada Khairul Idham atas insentif yang telah diberikan oleh kerajaan negeri, lambat atau kurangnya bukan lagi pertikaian kerana kita bukan sahaja ingin melahirkan seorang Khairul Idham, tetapi kita ingin melahirkan lebih ramai Khairul Idham.

Kesungguh kerajaan negeri wajar dizahirkan jika ingin melihat kejayaan yang lebih besar dan kurangnya fasiliti sukan yang ada akan merancatkan pembangunan sukan tersebut dan ini perlu kepada keseriusan semua pihak yang terlibat.

Isu litar perlumbaan permotoran sudah lama dibangkitkan dan ulangan cakna untuk membangunkannya sekali lagi diutarakan oleh Dato’ Seri Zambry dan kita menantikan pelan pembangunannya jika kerajaan negeri serius.

Kalau di Selangor kita ada Litar Lumba Rakyat, Kompleks Sukan Kuala Selangor yang begitu rancak menerima pelbagai tetamu tempatan khasnya menguji bakat dan mencurahkan keupayaan berlumba khasnya oleh anak muda kita.

Manakala kita juga ada Litar Antarabangsa Sepang ialah sebuah litar yang digunakan untuk perlumbaan Formula Satu, Grand Prix A1, Grand Prix Motosikal dan sukan permotoran yang lain bagi peringkat antarabangsa juga.

Jika isu fasiliti sukan kurang dan tidak mencapai kehendak masa kini, mana mungkin kita akan dapat mencungkil bakat-bakat sukan pelbagai bidang yang kita tidak mampu untuk memastikan keperluan tersebut dapat disediakan.

Akhirnya kepada Khairul Idham, teruskan usaha anda bagi mengharumkan nama negara kita dan kami di Perak tidak akan lupa mendoakan kejayaan anda dan anda contoh idola anak muda kampung khasnya yang dibanggakan!

Nota : Penulis adalah Setiausaha Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Perak

CATEGORIES