Datuk Seri tak pernah berbaris beli minyak paket 2 kilo, sindir wakil Umno

Datuk Seri tak pernah berbaris beli minyak paket 2 kilo, sindir wakil Umno

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Perwakilan Pemuda Umno Negeri Sembilan, Ridzuan Ahmad menggesa Datuk Seri Najib Razak membanteras masalah penyeludupan dengan menyelaraskan fungsi kesemua kementerian.

“Isu penyeludupan ini kena dibanteras Datuk Seri. Itu kerja penguatkuasa. Kita ada 27 kementerian. Dudukkan mereka 27 ini.

“Katakan satu, ‘aku tak mahu ini semua’. Datuk Seri mesti buat. Apa Datuk Seri takut?” soalnya diiringi tepukan gemuruh perwakilan dan pemerhati di Dewan Merdeka ketika berbahas dalam Perhimpunan Agung Pemuda Umno di Dewan Merdeka, kelmarin.

Beliau turut menekankan masalah kesempitan hidup akibat kenaikan kos sara hidup yang membebankan rakyat serta isu warga asing.

“Pengundi muda kesempitan hidup akibat kenaikan kos barangan asas. Berilah mereka harapan bukan alasan, pembuktian bukan penghinaan, tindakan bukan hanya slogan, yang kita sering terlepas pandang warga asing yang tidak membayar cukai mendapat sama rata dengan penduduk negara kita.

“Mungkin Datuk Seri tidak pernah berbaris membeli minyak paket 2 kilo. Yang berbaris rakyat asing ambil minyak dua kilo. Ini Serius. Saya bukan mahu jadi Maharaja Lawak,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan perlunya sumbangan rakyat di luar bandar dihargai.

“Datuk Seri, saya bukan beremosi. Tolong orang kampung ini. Kerajaan Barisan Nasional yang dipelopori oleh Umno sewajarnya berterima kasih kepada golongan penoreh getah, nelayan, petani, pekebun kecil serta pengundi luar bandar.

“Berilah mereka hati dan budi kita. Kenapa Datuk Seri asyik cerita kita bagi bas. Cubalah Datuk Seri naik bas yang Ku Nan bagi tu, yang naik tu Bangladesh,” ujarnya.

Ridzuan berkata, perkara yang dibangkitkannya itu hanya menerangkan realiti yang berlaku di peringkat akar umbi serta demi kelangsungan Umno.

“Teguran ini bukan nak tunjuk pandai tapi kerana kasih dan sayang agar tidak tergadai. Teguran ini juga bukan kerana benci tapi demi masa depan yanbg perlu diteliti dan juga bukan untruk mengambil hati tapi terpaksa disebut kerana realiti kerana Pemuda amat sayang parti ini,” tambahnya lagi.

TAGS