Deklarasi Rakyat beri ruang politik baru berputik

Deklarasi Rakyat beri ruang politik baru berputik

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Menerima kepelbagaian adalah ciri utama politik baharu yang digunakan untuk membina negara bangsa malah kepelbagaian bukanlah satu bala dan dimanipulasi sebagai punca perpecahan, kata Naib Presiden Amanah Datuk Dr Mujahid Yusof.

Malah idea politik baru yang diperkenalkan Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum (PRU) ke-12 dan ke-13 menerima tentangan sengit BN yang masih berdegil dengan politik ‘old school’ dan tegar dengan politik ‘cash is king’.

“Kami daripada pendukung politik baharu adalah penyeru tegar kepada konsep kesepaduan dan bukan sekadar retorik perpaduan.

“Kesepaduan bermakna kita masih boleh berada dalam kekuatan di sebalik kepelbagaian politik dan ianya diikat oleh kasih kita kepada kepentingan negara terlebih dahulu pada kepentingan parti dan kaum,” katanya.

Kesepaduan, ujar beliau tidak mensyaratkan keseragaman (uniformity) sebaliknya didorong perasaan kasih pada negara walaupun berbeza ideologi.

Berbeza pandangan dengan pemerintah, jelas beliau bukan bersamaan dengan tidak suka kepada perpaduan.

“Pakatan Harapan tertegak atas prinsip ini dan mahu membuka lembaran baharu dalam berpolitik melalui formula pendemokrasian berterusan,” ujar beliau mengulas Deklarasi Rakyat yang diisytiharkan petang Jumaat lalu.

Rakyat ujar Dr Mujahid menyaksikan deklarasi penting atas nama warganegara peduli merentasi sempadan politik dan ideologi untuk menyelamatkan negara.

“Tidak sukar bagi kami untuk menyertai gerakan ini kerana kami dipandu dengan kejelasan sejak awal bahawa pemimpin rasuah harus dihentikan, reformasi institusi perlu berterusan dan kesedaran rakyat melalui hak bermaklumat dan kebebasan media mesti diagendakan.

“Kami tidak ada masalah jika mana-mana pihak memilih kaedah ini untuk berpolitik dan hari ini harapan kami menjadi kenyataan,” katanya.

Menurut beliau, dua asas penting yang dipersetujui dalam Deklarasi Rakyat itu adalah menyingkirkan Perdana Menteri dan mereformasi institusi.

Beliau berbangga melihat sebahagian hasil para pendokong politik baharu mula dapat dilihat.

“Penat jerih pengasas seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Almarhum Ustaz Fadzil Noor, Lim Kit Siang dan lain-lain pejuang politik baharu kini sedang berputik.

“Begitu juga nama mereka yang tidak didendang sama ada yang telah meninggalkan kita atau yang menderita kerana politik baharu ini atau dipenjara kerana keazaman yang tidak pernah pudar, kepada mereka inilah kelazatan menikmati hasilnya,” ujarnya lagi.

Dr Mujahid juga mengingatkan para pendukung supaya memahami prinsip dan matlamat politik baharu yang bakal mengubah lanskap politik nasional bagi memasuki era baharu yang menjaminkan.

TAGS