Deklarasi Rakyat mahu singkir Najib secara aman menurut undang-undang

Deklarasi Rakyat mahu singkir Najib secara aman menurut undang-undang

Deklarasi Rakyat yang dibacakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di majlis deklarasi anti-Najib hari ini bersetuju menyingkirkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melalui saluran yang aman dan mengikut undang-undang negara.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Deklarasi Rakyat yang dibacakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di majlis deklarasi anti-Najib hari ini bersetuju menyingkirkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melalui saluran yang aman dan mengikut undang-undang negara.

Deklarasi yang ditandatangani 50 pemimpin politik dan badan bukan kerajaan (NGO) di ibu negara itu juga bersetuju menyingkirkan semua pihak yang bersekongkol dengan Najib.

Selain itu deklarasi turut mahu semua undang-undang dan perjanjian baru yang melanggar hak asasi dijamin Perlembagaan Persekutuan dan melemahkan polisi terpilih dimansuhkan selain memulihkan integriti institusi yang telah dilemahkan seperti polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC).

“Kami menyeru kepada semua rakyat Malaysia tidak mengira kaum, agama, politik, kepercayaan atau parti, tua atau muda, marilah bersama-sama kami selamatkan Malaysia daripada kerajaan yang dipimpin Datuk Seri Najib untuk membuka jalan kepada mereformasikan institusi demi proses demokrasi dan memulihkan prinsip pengasingan kuasa di antara eksekutif, legislatif dan kehakiman yang akan memastikan kebebasan, kredibiliti, profesionalisme serta integriti institusi-institusi nasional,” kata Dr Mahathir sewaktu membacakan deklarasi tersebut.

Deklarasi tersebut juga kata Dr Mahathir bertujuan menyedarkan rakyat mengenai kerosakan yang telah dilakukan kepada negara di bawah pentadbiran Najib.

“Di bawah pentadbirannya negara jatuh tersenarai sebagai salah satu daripada 10 negara yang paling banyak mengamalkan rasuah mengikut laporan Ernst and Young Asia Pacific Fraud Survey Report Series 2013. Malaysia juga telah jatuh empat anak tangga (dalam) Indeks Persepsi Rasuah 2015, dari 50 ke 54.

“Ini adalah kerana dia (Najib) percaya yang wang tunai boleh mempastikan kedudukannya sebagai Perdana Menteri Malaysia. Dia percaya bahawa duit adalah segala-galanya – ‘Cash is King’,” kata Dr Mahathir.

Deklarasi tersebut turut menyentuh mengenai syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang meminjam RM20 bilion untuk membeli tiga janakuasa elektrik pada harga RM12.1 bilion yang melebihi harga pasaran.

Dr Mahathir berkata, walaupun diberi kontrak untuk membina janakuasa baru selain lanjutan bagi konsesi yang hampir tamat, syarikat-syarikat janakuasa 1MDB ini telah dijual pada harga RM9.83 bilion dengan kerugian berjumlah RM2.27 bilion.

“1MDB juga telah melabur atau meminjamkan sebanyak USD1.83 bilion kepada Petrosaudi International (PSI) Limited diantara 2009 dan 2011 di dalam projek-projek dan aset yang tidak wujud.

“Bank Negara Malaysia telah meminta supaya 1MDB membawa pulang semula wang tersebut ke Malaysia kerana kebenaran yang diberi untuk pelaburan berdasarkan kepada maklumat yang tidak tepat.

“Daripada jumlah ini, sebanyak USD1.45 bilion telah secara langsung atau tidak langsung disalurkan kepada syarikat Good Star Limited dan lain-lain syarikat di bawah penguasaan Low Taek Jho,” katanya.

Selain itu deklarasi turut menyatakan kebimbangan mengenai Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang digubal untuk memberikan Perdana Menteri dan bukan Yang di-Pertuan Agong kuasa mengisytiharkan sesuatu kawasan itu sebagai kawasan keselamatan apabila sesiapa sahaja boleh ditangkap dan ditahan tanpa bicara dan didakwa dibawah prosedur yang melanggar batas keadilan.

“Hari ini imej Malaysia amat buruk sekali. Selain diklasifikasikan antara 10 negara terburuk mengamalkan rasuah, Malaysia juga dianggap tidak demokratik. Hak kebebasan bersuara juga kebebasan akhbar terhalang, dan rakyat hidup dalam ketakutan (untuk) ditangkap dan ditahan.

“Sebaliknya pula jika berlaku kesilapan dalam penggunaan akta ini oleh pegawai kerajaan atau di mana terdapat salah guna kuasa, rakyat tidak boleh mengambil apa bentuk tindakan terhadap mereka.

“Whistleblowers atau pemberi maklumat, diganggu dan dihukum dan bukannya diberi perlindungan. Undang-undang lain digunakan yang menyekat kebebasan bersuara menegur salah laku. Hak asasi yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan tidak lagi membawa apa-apa makna,” katanya.

TAGS